Blogger Layouts

Thursday, September 15, 2011

Faktor Kelahiran Pengarang Kelantan dan Minangkabau

KELANTAN DAN SUMATERA BARAT;

KEDUDUKAN, LATARBELAKANG SEJARAH DAN FAKTOR KELAHIRAN PENGARANG

Pengenalan

Dalam bab ini akan dibincangkan tentang kedudukkan dan sejarah negeri Kelantan dan Propinsi Sumatera Barat. Seterusnya akan dibincangkan tentang latarbelakang pengarang novel penulis Kelantan dan penulis Sumatera Barat. Hal-hal yang akan dibincangkan dalam bahagian ini ialah tentang biodata diri pengarang dan hasil-hasil karya mereka. Seterusnya akan dibincangkan tentang perkembangan struktur karya sepanjang abad ke-20. Perbincangan ini akan ditumpukan kepada aspek perkembangan tema, watak, latar dan persoalan yang terdapat dalam novel kajian. Akhir sekali akan dibincangkan tentang penilaian novel-novel yang dihasilkan itu sepanjang abad ke-20 ini.

2.1 Latarbelakang Kedudukkan Negeri Kelantan dan Sumatera Barat dan

Perkembangan Sejarah

Wilayah adalah tempat yang memiliki batas-batas dan ciri-ciri tertentu di bumi ini. Wilayah tersebut selain berpenghuni, juga dilengkapi dengan budaya para penghuninya. Budaya atau kebudayaan adalah hasil penciptaan akal budi manusia yang dipergunakan bagi kesejahteraan hidupnya. Kebudayaan itu dapat berupa kesenian, adat istiadat, ilmu pengetahuan, dan teknologi. Kebudayaan Melayu Kelantan dan Minangkabau bererti segala penciptaan orang Melayu Kelantan dan Melayu Minangkabau yang dipergunakan untuk kesejahteraan hidupnya. Wilayah budaya bererti suatu wilayah dengan batas-batas tertentu tempat hidup, tumbuh, dan berkembangnya suatu budaya masyarakat. Wilayah kebudayaan itu kadang-kadang lebih luas dari wilayah pentadbiran sesebuah pemerintahan.

2.2 Kedudukan dan Sejarah Negeri Kelantan

Negeri Kelantan terletak di timur laut Semenanjung Malaysia. Negeri ini bersempadan dengan Negara Thai di sebelah utara; Perak di barat; Pahang di selatan; dan Terengganu di tenggara. Di timur Kelantan ialah Laut Cina Selatan. Keluasan negeri Kelantan ialah 14 931 kilometer persegi.[1] Kelantan terletak di antara garis lintang 4 30’U hingga 6 30’U dan garis bujur 102 20’T dan 102 40’T dan jaluran pantai sepanjang 96 km[2].

Negeri Kelantan terdiri daripada sepuluh jajahan iaitu Kota Bharu, Pasir Mas, Pasir Putih, Bachok, Machang, Tumpat, Tanah Merah, Kula Krai, Jeli, dan Gua Musang. Setiap jajahan dibahagikan kepada beberapa daerah. Daerah pula dibahagikan kepada mukim. Struktur pentadbiran yang seperti ini berbeza daripada struktur pentadbiran negeri-negeri lain di Malaysia yang hanya terbahagi kepada kepada daerah-daerah dan mukim-mukim sahaja. Pegawai yang mengepalai daerah ialah pegawai daerah manakala mukim, pula diketui oleh penggawa. Ketua kampung disebut penghulu. Di negeri lain pangkat penggawa tidak wujud. Bandar Kota Baharu dipilih sebagai ibu negeri Kelantan. Nama-nama julukan negeri Kelantan termasuklah Cik Siti Wan Kembang, Tanah Serendah Sekebun Bunga dan Serambi Mekah.

Hampir keseluruhan kawasan datarannya terbentuk daripada lembah Sungai Kelantan. Di bahagian pedalaman, Kelantan dicirikan oleh banjaran gunung dan tanah tinggi, sementara di pinggir pantai, beting pasir dan lagun lanskap fizikalnya. Dataran pantai ini dan delta sungai Kelantan merupakan kawasan teras peradaban dan penghidupan di Kelantan, meskipun angin monson Timur Laut mengakibatkan banjir di negeri ini setiap bulan November dan Disember.

Kerajaan paling awal di Kelantan dikenali sebagai ‘Medang Gana’ atau ‘Nusa Medang’ dikatakan wujud pada tahun awal sebelum abad pertama. Pada tahun 150 M, Claudius Ptolemy, ahli geografi Yunani yang berasal dari Iskandariah, Mesir telah melukis peta dunia. Semenanjung Malaysia pada masa itu dikenali dengan nama The Golden Chersonese atau Semenanjung Emas. Beliau ada mencatat nama tempat seperti ‘Koli Polis’, ‘Primula’, dan ‘Thara’ yang dikatakan terletak di pantai timur Semenanjung Emas(Tanah Melayu). Gerini, pengarang yang mengupas buku tulisan Ptolemy yang bertajuk ‘Geography of Eastern Asia’, telah membuat kesimpulan bahawa ‘Koli yang disebut oleh Ptolemy sebagai sebuah pekan di pantai timur Tanah Melayu, sebenarnya Kelantan. Nama ‘Koli’ itu dipercayai diperkenalkan oleh orang yang berasal dari bahagian utara India. Menurut Gerini lagi, nama Kelantan terhasil daripada gabungan

perkataan ‘kolae’ (‘kolam’, mengikut dailek Kelantan) dan ‘thana’(tanah) serta perkataan ‘anta’ atau ‘autam’ yang bermaksud sempadan. Gabungan tiga perkataan itu kemudian disebut ‘Kolamtanah’ atau ‘Kolantam’ yang akhirnya berubah menjadi Kelantan. Pada masa itu ‘Medang Gana’ telah berubah nama kepada ‘Kunjarakunja’ dan

wujud sebagai negeri taklukan Raja Funan hingga awal abad ke-3 M. [3].

Pada abad ke-4., ‘Kunjarakunja’ diubah namanya kepada ‘Kalathana’ atau ‘Tanah Kala’ dengan ibu kotanya ‘Yawakoti’. Negeri Kalathana menjadi empayar pada tahun 379 M. setelah menewaskan Raja Funan. Negeri inilah yang disebut dalam babad China sebagai ‘Ho-lo-tan’ dan ‘Tan-tan’. Menurut Moens, kerajaan Sriwijaya bermula dari Kelantan, dan berpindah ke Sumatera. Kerajaan Sriwijaya, menjadikan tepi sungai Batangkampar sebagai pusat pemerintahan dan candi di Muaratakus sebagai pusat peribadatan[4]. Dari sanalah kemudian kerajaan Sriwijaya berpindah ke tepi Sungai Musi di Sumatera Selatan. Pada tahun 552 M., Kalathana telah ditakluki semula oleh Raja Funan; tetapi bebas semula pada tahun 566 M. Seterusnya nama Kalathana ditukar kepada ‘Raktamrittika’(negeri Tanah Merah). Menurut catatan sejarah, pada awal abad ke-7, Kerajaan Sui di negeri China telah menghantar satu perwakilan ke sebuah kerajaan yang bernama ‘Chih-tu’ yang bermaksud ‘Negeri Tanah Merah’. Negeri ‘Raktamrittika’ berkembang hingga menjadi empayar Sriwijaya pada tahun 650 M. Sewaktu pergolakan Sriwijaya pada tahun 650 M, negeri Kelantan memakai nama “Medang Bhumi’ menjadi pusat empayar ‘Sampugita’. Empayar inilah yang disebut dalam catatan China sebagai ‘San-fo-tsi’ dan menurut catatan Arab, disebut sebagai ‘Zabaj’.

Pada abad ke-11, nama ‘Medang Bhumi; untuk Kelantan tua mulai lenyap dan digantikan dengan ‘Medang Kilatan’. Pada abad ke-12, Ibnu Battuta, pengembara berbangsa Arab dalam catatannya menyebut bahawa dalam perjalanannya ke timur sekitar tahun 1297 M., beliau pernah singgah di suatu tempat yang bernama ‘Kailu Krai’. Marco Polo, pengembara Barat yang terkenal, pernah singgah di satu tempat yang bernama Lokok, dalam perjalanannya dari China ke India pada tahun 1294 M. Tempat yang bernama Lokok itu dipercayai mempunyai kaitan dengan Kampung Tok Lukot yang terletak di pesisiran pantai Kelantan[5].

Pada abad ke-14, Kelantan muncul sebagai pusat kerajaan Majapahit Barat yang juga dikenal sebagai sebagai ‘Empayar Cermin Jiddah’. Sesudah empayar ini runtuh pada tahun 1467, Kelantan wujud sebagai sebahagian daripada jajahan Patani hingga tahun 1521. Catatan-catatan di dalam buku pelayaran orang Arab pada abad ke-15 menggunakan nama ‘Kalandan’ untuk merujuk nama Kelantan. Pada tahun 1554 M., Kelantan berjaya membebaskan diri daripada Patani dan muncul sebagai sebuah negeri merdeka buat beberapa abad. Peta Goudinho d’Eredia yang digunakan oleh pelayar Barat sekitar tahun 1600 merujuk kepada muara Sungai Kelantan sebagai Calantan Rio. Peta-peta Portugis yang lain pula mencatatkan nama ‘Calantan’, ‘Calantam’ atau ‘Calantae’[6].

Walaupun kewujudan Kelantan telah tercatat begitu lama, fakta berkenaan asal usul nama negeri masih tidak jelas. Cerita rakyat berkenaan penamaan nama Kelantan mempunyai versi yang berbeza. Ada cerita yang mengatakan nama Kelantan diambil daripada nama pokok gelam hutan atau pokok kayu putih yang tumbuh di kawasan pantai negeri itu.

Cerita yang lain mengatakan, Raja Pattani sedang bersiar-siar di tepi pantai, Raja Pattani itu ternampak suatu kawasan di bahagian selatan negerinya yang mengeluarkan satu cahaya terang yang berkilau-kilauan. Cahaya itu mem,ancar-mancar seperti kilat. Raja Pattani berasa hairan lalu terus berteriak ‘kilat-kilatan’. Oleh kerana baginda amat tertarik dengan tempat yang bercahaya itu baginda telah menggelarkannya Kilatan. Lama-kelamaan, sebutan tempat itu menjadi Kelantan[7].

Menurut satu catatan, pada tahun 1411 Kelantan diperintah oleh Maharaja K’umar (Engku Umar) yang beragama Islam. Sehingga pada tahun 1465, Kelantan diperintah oleh Sultan Iskandar. Pada masa inilah, Kelantan telah diserang oleh angkatan perang Siam di bawah perintah Raja Boromaraja II. Kota dan istana baginda terkenal dengan nama Kota Serendah Bunga turut musnah. Seterusnya, putera Baginda Sultan Mansur berusaha keras untuk memulihkan negeri Kelantan. Pada masa itu beliau mendirikan kota dan istana di sebuah tempat yang dinamai Pulau Sabar. Pada tahun 1477, angkatan perang dari Kelantan, yang diketuai oleh Sultan Mahmud Syah telah menyerang dan mengalahkan Kelantan. Sultan Mansur mangkat pada tahun 1525 M, dan baginda dihantikan oleh Raja Gombak yang kemudiannya memakai gelaran sultan. Seterusnya, pada tahun 1548, Sultan Gombak mangkat. Baginda tidak mempunyai putera, takhta Kelantan diserahkan kepada putera saudara baginda yang bernama Raja Ahmad. Sultan Ahmad mangkat pada tahun 1589, dan meninggalkan seorang puteri yang masih kecil bernama Puteri Cik Siti Wan Kembang.

Pada tahun 1610 Cik Siti Wan Kembang ditabalkan menjadi Raja Perempuan Kelantan. Pada masa pemerintahannya, Kelantan menjadi tumpuan para pedagang. Baginda berpindah ke Cerang Tekayung dan mendirikan sebuah istana yang dikenali sebagai Istana Serendah Sekebun Bunga Cerang Tegayung. Beliaulah yang memerintahkan supaya gambar kijang diterapkan ke atas wang emas Kelantan. Kemudian gambar kijang itu dijadikan sebahagian daripada lambang kerajaan negeri Kelantan.

Cik Siti Wan Kembang menjalinkan hubungan persahabatan dengan kerajaan Jembal, sebuah kerajaan kecil lain di Kelantan. Perhubungan itu sangat akrab, hingga Raja Layor, pemerintah kerajaan Jembal membenarkan Cik Siti Wan Kembang mengambil Puteri Sa’dong sebagai anak angkatnya. Puteri Sa’dong dikahwinkan dengan sepupunya yang bernama Raja Abdullah, iaitu putera Raja Bahar Bendahara. Raja Abdullah terbunuh setelah ditikam oleh Puteri Sa’dong dengan cucuk sangulnya.

Ekoran kemangkatan Raja Abdullah, Raja Abdul Rahim telah dilantik menjadi raja Kelantan yang baru. Puteri Sa’dong berangkat ke Bukit Marak untuk mendirikan kerajaan baru di sana. Pemerintahan Raja Abdul Rahim sangat kejam dan baginda tidak disukai oleh rakyatnya. Akhirnya, beliau telah dibunuh oleh rakyatnya ketika sedang bersiar-siar di tepi Tasik Lelayang Mandi. Kematian Raja Abdul Rahim menandakan berakhirnya takhta Kerajaan Mahligai dan muncul kembali kekuataan Jembal di bawah pemerintahan Raja Omar. Beliau ditabalkan sebagai seorang raja pada tahun 1675 dan mangkat pada tahun 1721 dan digantikan oleh Long Bahar.[8]

Pada tahun 1898, Kelantan dibahagikan kepada dua bahagian iaitu Kelantan Barat dan Kelantan Timur dengan Sungai Kelantan menjadi sempadan antara kedua-duanya. Pada tahun 1750, negeri ini dicantumkan semula dan ibu kotanya dipindahkan dari Kota Pangkalan Datu di Kelantan Timur ke Kota Kubang Labu di Kelantan Barat. Sebelum Long Yunus membuka sebuah kota yang baru di Galuh, beliau pernah memerintah Kota Kubang Labu hingga tahun 1782. Berdasarkan penyelidikan arkeologi, Kota Kubang Labu dibuka oleh Tuan Sulong, seorang keturunan kerabat diraja Patani dan beliau membuka kota tersebut pada tahun 1702. Selepas Tuan Sulong mangkat, kota tersebut diperintah oleh Long Sulaiman. Long Sulaiman telah dibunuh oleh Long Deraman pada trahun 1756. Long Deraman melantik adiknya, Long Pandak menjadi raja yang memerintah Kota Kubang Labu. Kematian Long Pandak disebabkan terjadinya perang saudara dan takhta pemerintahan Kota Kubang Labu diberikan kepada Long Muhamad(1758). Pemerintahan Long Muhammad dikatakan mengamalkan sistem pemerintahan yang zalim dan Long Ghafar mengambil kesempatan menyerang Kota Kubang Labu dan akhirnya Long Muhammad meninggal dunia[9].

Mengikut sejarah tempatan, Long Ghafar telah menolong Long Yunus menawan Kelantan daripada Long Pandak sekitar tahun 1775. Long Yunus(1763 – 1795), seorang keturunan Dato’ Pangkalan Tua, Patani telah menjadi raja Kelantan dengan gelaran Yang Dipertuan[10]. Pada masa pemerintahannya ibu negeri Kelantan terletak di Kampung Galuh yang terletak di kawasan kampung Sireh atau Kota Lama. yang kemudian dikenal sebagai Kampung Kota. Seterusnya, pada masa pemerintahan Long Muhammad(1800 – 1837), gelaran Sultan Muhammad(1800 -1837) ibu negeri Kelantan terletak di Pulau Sabar[11]. Pulau Sabar menjadi ibu negeri Kelantan selama 44 tahun. Pulau Sabar mengalami banyak masalah sebagai ibu kota negeri Kelantan terutama masalah banjir dan hakisan. Akhirnya kota tersebut dipindahkan dan dipanggil ‘Buluh Kubu’ atau ‘Dalam Kubu’[12]. Kota tersebut dinamakan sebagai ‘Kota Bharu’ mengambil sempena kota dan istana yang baharu dibina. Untuk mengelakkan kekaburan, Sultan Muhammad II memerintahkan supaya kota istana tempat baginda bersemayam diberi nama Istana Balai Besar dan Kota Bharu menjadi nama bandar dan ibu kota negeri Kelantan sehingga sekarang. Pada tahun 1939, Kota Bharu diwartakan sebagai sebuah Bandar dan ditadbirkan oleh Lembaga Bandaran Kota Bharu(LBKB). Pada tahun 1953, pentadbiran Kota Bharu ditukar kepada Majlis Bandaran Kota Bharu(MPKB). Pada tahun 1978, LBKB ditukarkan kepada Majlis Perbandaran Kota Bharu(MPKB). Pada tahun 1991, Bandar Kota Bharu diistiharkan sebagai Kota Budaya[13].

2.3 Kedudukan dan Sejarah Sumatera Barat

Propinsi Sumatera Barat terletak di pantai Barat pulau Sumatera. Di sebelah Utara bersempadan dengan propinsi Sumatera utara, di sebelah Timur dengan Propinsi Riau dan Jambi, di sebelah Selatan dengan Propinsi Bengkhulu dan di sebelah Barat dengan lautan Hindi. Luas propinsi Sumatera Barat ialah 42, 297, 30 m2 dengan jumlah penduduk hasil bancian pada tahu 1971 seramai 2, 792, 221 orang. Propinsi Sumatera Barat terdiri dari lapan daerah kabupaten dan enam Kota Madya. Kabupaten tersebut termasuklah Kabupaten Tanah Datar, Kabupaten Agam, Kabupaten 50 Kota, Kabupaten Solok, Kabupaten Sawah Lunto Sijunjung, Kabupaten Pasaman, Kabupaten Padang/Pariaman dan Kabupaten Pesisir Selatan. Kota Madya pula termasuklah Kota Madya Padang, Kota Madya Bukittinggi, Kota Madya Payakumbuh, Kota Madya Solok, kota Madya Sawah Lunto, dan kota Madya Padang Panjang[14].

Daerah Propinsi Sumatera Barat bergunung-ganang. Bukit Barisan membentang dari Utara ke Selatan. Terdapat beberapa puncak gunung yang tinggi, misalnya gunung Merapi, gunung Singgalang, gunung Sago, gunung Talang dan gunung Pasaman. Propinsi Sumatera Barat pada umumnya dapat dibahagikan kepada dua bahagian kawasan dataran tinggi dan dataran rendah yang sempit menghadap ke lautan Hindi. Daerah ini secara tradisional dibahagi kepada tiga luhak iaitu Luhak Tanah Datar iaitu disekitar kota Batu Sangkar, Luhak Agam di sekitar kota bukittinggi, dan Luhak Limo Puluh Koto di sekitar Paya Kumbuh. Ketiga-tiga luhak ini dianggap sebagai daerah inti kebudayaan Minangkabau atau disebut juga Luak Nan Tigo.[15]

Sebelum perluasan daerah Minangkabau ke daerah dataran rendah, setiap luhak mempunyai wilayah rantau yang letaknya bersebelahan.Pada awalnya luhak Limapuluh Koto memiliki daerah rantaunya sendiri, iaitu Kampar, ke arah timur(kini menjadi kabupaten kampar, termasuk Propinsi Riau). Wilayah rantau ini meliputi Pangkalan, Bangkinang, Teratak Buluh dan daerah hulu sungai-sungai besar, Sungai Kampar, Siak dan lain-lain. Malah daerah rantau Limapuluh Koto menyusuri sungai ke arah timur sampai ke Semenanjung Melaka(Negeri Sembilan)[16].Luhak Agam kawasan rantaunya ialah Rantau Pasaman di sebelah utaranya termasuk Padang Nunang, Air Bangis, Parit Batu dan Tiku.Luhak Tanah Datar kawasan rantaunya ialah Rantau Solok arah ke Selatan. Kawasan ini termasuklah Pariaman, Padang, Indarpura, Sungai Pagu, Pulau Punjung dan Siguntur[17].

Luhak dan rantau masing-masing telah berbentuk menjadi Kabupaten. Kabupaten Kampar yang dahulu bahagian dari Sumatera Barat sekarang masuk Propinsi Riau. Demikian juga di Negeri Sembilan, Malaysia pada dahulunya termasuk dalam luhak Limapuluh Koto tetap menggunakan adat Minangkabau dan secara budaya mereka tetap menganggap dirinya sebagai orang Minangkabau.

Wilayah Minangkabau disebutkan di dalam tambo, iaitu sekitar enam buah gunung Merapi, Pasaman, Sago, Singgalang, Talang, terletak di wilayah Propinsi Sumatera Barat, sedangkan Gunung Kurinci terletak di wilayah pentadbiran Propinsi Jambi. Berdasarkan bukti yang terdapat dalam tambo, maka wilayah budaya Minangkabau lebih luas dari wilayah Propinsi Sumatera Barat sekarang. Nama-nama tempat sebagaimana yang terdapat dalam tambo ini masih wujud sampai sekarang, maka batas wilayah budaya Minangkabau dapat tentukan iaitu;

i) Sebelah Utara bersempadan dengan Sikilang Air Bangis;

ii) Sebelah Selatan Taratak Aia Hitam dan Muko-muko di Propinsi Bengkulu;

iii) Sebelah Barat dengan “ombak nan badabua” atau lautan Hindi;

iv) Sebelah Timur bersempadan dengan Durian Ditakuk Rajo, Buayo Putiah Daguak, dan Sialang Balantak Basi.

Ini bermakna, Minangkabau memiliki wilayah budaya yang luas. Wilayah itu meliputi tiga propinsi iaitu, Sumatera Barat, Riau, dan Jambi.[18]

Istilah Minangkabau mengandungi dua makna iaitu pengertian kebudayaan dan makna geografi. Terdapat suku Minangkabau dan adanya kebudayaan Minangkabau, tetapi tidak ada suku atau bangsa Sumatera Barat ataupun kebudayaan Sumatera Barat. Istilah Sumatera Barat adalah sebagai satu sistem politik yang diperkenalkan oleh pemerintah Indonesia. Orang Minangkabau menamakan negerinya Alam Minangkabau. Pemahaman mereka mengenai kata Alam untuk negerinya, jauh lebih luas dari batas-batas wilayah Sumatera Barat dewasa ini. Dengan penambahan Alam kepada kata Minangkabau maka konsep luhak(kampung asal) dengan rantau tidak dapat dipisahkan. Luhak tidak mungkin ada tanpa adanya rantau, dan begitulah sebaliknya[19]. Ini bermakna, istilah Minangkabau dari segi geografi lebih luas berbanding dengan istilah Sumatera Barat.

Wilayah Minangkabau adalah wilayah tempat hidup, tumbuh, dan berkembangnya orang Melayu Minangkabau. Dalam wilayah ini mereka mengembangkan kehidupan dan menerapkan kehidupan nilai-nilai turun-temurun. Di dalam wilayah itu mereka berusaha secara ekonomi, sosial, dan budaya. Budaya yang turun-temurun dari generasi sebelumnya selalunya mengalami pertumbuhan dari satu generasi ke generasi berikutnya. A. A. Navis berpendapat, Minangkabau sering lebih dikenali sebagai bentuk kebudayaan dan bukannya sebagai bentuk negara atau kerajaan yang pernah wujud dalam sejarah[20]. Kata Minangkabau menurut mitos ada hubungan dengan dengan ‘menang(minang) kabau’, ‘kerbau menang’, ‘mainang kabau’, dan ‘memelihara kerbau’[21]. Menurut tambo Minangkabau pada suatu hari datang perahu dari laut membawa kerbau panjang tanduk di Bukit Gombak. Nakhodanya mengajak Datuk Katumanggungan dan Datuk Perpatih Sebatang mengadu kerbau itu. Datuk yang berdua itu berjanji selama 7 hari akan dicarinya anak kerbau yang masih menyusu, diberinya bertanduk 9 cabang dan enam depa panjangnya. Sewaktu diadakan pertarungan, anak kerbau itu segera menyerbu kerbau besar itu dengan maksud hendak menyusu. Kerbau besar luka oleh tanduk besi yang dibuat khusus untuk itu, sehingga kerbau itu mati. Nakhoda besar mengakui kekalahannya dan menyerahkan semua kekayaannya. Sejak itu Pulau Perca dinamakan Minangkabau.[22]

Menurut pendapat Prof. Dr. Purbacaraka, kata Minangkabau berasal dari ‘Minanga Tamwan’, ertinya pertemuan dua muara sungai. Menurut keterangan ini Minangkabau terletak pada pertemuan dua sungai besar. Sutan Muhammad Zain berpendapat bahawa ‘Minangkabau’ berasal dar kata ‘Binanga Kanvar’ yang ertinya ialah Muara Kampar. Keterangan ini bertambah kuat kerana Chau Yu Kua yang pernah berkunjung ke Muara Kampar pada abad ke-13 menerangkan bahawa di sana didapatinya terdapat bandar yang paling ramai di pusat Sumatera. Menurut dr. Muhammad Hussein Nainar dari Universiti Madras, sebutan ‘Minangkabau’ berasal dari ‘menonkhabu’, yang ertinya ‘tanah pangkal’ atau ‘tanah permai’[23]

Berdasarkan hasil penelitian oleh Pemerintah Daerah Sumatera Barat dan telah dibukukan bertajuk “Sejarah Daerah Sumatera Barat” dapat dibahagikan kepada bebeberapa peringkat. Peringkat pertama dikenali sebagai Sumatera Barat masa pra sejarah, Sumatera Barat Zaman Kuno(Abad 1 – 1500 M), Sumatera Barat Zaman Baru (1500 M – 1800 M), Sumatera Barat (1900 M – 1942 M), Zaman Pendudukan Jepun (1942 – 1945), dan Zaman Kemerdekaan (1945 – 1975).

Suku bangsa Minangkabau yang mendiami Propinsi Sumatera Barat termasuk dalam bangsa Deutro Melayu (Austronesia). Perpindahan bangsa Deutro Melayu(Austronesia) ke Nusantara berlaku 500 sebelum Masihi(pada zaman logam). Mereka berasal dari daerah Yunan dan mereka menyebar melalui laut dengan perahu bercadik ke pulau-pulau di Selatan Asia Tenggara dan sampai ke Sumatera. Melalui pantai Timur Sumatera, mereka memudiki sungai-sungai yang bermuara dari Selatan Melaka. Akhirnya mereka sampai di Palalawan, sebuah daerah sekitar pertemuan sungai Kampar Kiri dan Kampar Kanan. Dari sini, mereka meneruskan untuk memuduki sungai ke pedalaman Sumatera Barat. Mereka hidup dan menetap dan mendirikan kampung yang pertama dikenali sebagai Minangkabau, di sebelah utara Batusangkar sekarang. Menurut Van der Tuuk, Minangkabau berasal dari kata ‘Minang Khabu’ yang bererti negeri asal. Dari sinilah mereka akan menyebutkan nagari Minangkabau itu sebagai nagari asalnya[24]. Jadi, nagari Minangkabau itu sebagai nagari asalnya bagi orang Minangkabau yang ada sekarang.

Prasasti Kedukan Bukit yang berangka tahun 683 Masihi yang ditemui di Palembang tertulis kata ‘Minangatawan’. Ahli sejarah Indonesia, Prof. Dr. Poerbocaroko manafsirkan kata tersebut sebagai asal mulanya kata ‘Minangkabau’. Keterangan sumber tertulis mengenai Sumatera Barat hanya baru diperolehi pada akhir abad ke-13 yang berangka tahun 1286 M. Prasasti ini dikatakan berasal dari Raja Kartanegara dari kerajaan Singosari. Prasasti ini ditemui di Sungai Langsat, Kabupaten Sawah Lunto Sijunjung, yang dipahatkan pada alas arca Amoghapaca[25]. Pada abad ke-14 barulah ditemui prasasti-prasasti yang ditinggalkan oleh Raja Adityawarman ketika baginda menjadi raja di Kerajaan Pagarruyung di dalam kabupaten Tanah Datar[26].

Pada permulaan abad ke-7 M, nama Melayu buat pertama kali muncul dalam babad Cina. Dalam buku ‘Tseh Fu-Ji-En Kwei’, diterangkan bahawa pada tahun 664 M, kerajaan Melayu mengirim utusan ke negeri Cina untuk mempersembahkan hasil negerinya kepada raja Cina. Menurut ahli Sejarah, kerajaan Melayu yang dimaksudkan itu terdapat di daerah Jambi sekarang. Kerajaan Melayu mempunyai wilayah sampai ke daerah Minangkabau/Sumatera Barat. Menurut catatan yang dibuat oleh I-Tsing, pada tahun 690 kerajaan Sriwijaya meluaskan daerah pemerintahannya dan kerajaan Melayu tersebut dapat ditaklukkan oleh Sriwijaya sebelum tahun 692. Kejatuhan kerajaan Melayu itu maka daerah Minangkabau itu juga menjadi daerah Sriwijaya. Selama lebih kurang enam abad, Sriwijaya menjadi sebuah kerajaan maritime selama enam abad.

Pada tahun 1023 M, 1030 M dan 1069 M, kerajaan Sriwijaya mendapat serangan daripada Colamandala yang letaknya di India Selatan. Serangan ini melemahkan kerajaan Sriwijaya. Kesannya, kerajaan Melayu membebaskan diri dari kekuasaan kerajaan Sriwijaya dan membentuk kerajaan sendiri. Ibu kotanya dipindahkan ke daerah Minangkabau iaitu di Darmacraya di daerah hulu sungai Batang Hari. Hal ini dapat dibuktikan dari isi prasasti Padang Candi 1286 yang terdapat di sungai Langsat kenagarian Siguntur dekat sungai Dareh dalam propinsi Sumatera Barat sekarang. Berdasarkan catatan tersebut, jelaslah bahawa sebelum tahun 1286 M, Sumatera Barat(Minangkabau) hanya merupakan bahagian dari kerajaan Melayu dan kerajaan Sriwijaya pernah berkuasa di pantai Timur Pulau Sumatera.

Ekspedisi Ramalayu atau Pamalayu yang diketui oleh Raja Kartanegara(1250 – 1400) dari kerajaan Singosari pada tahun 1275 bertujuan untuk menguasai kerajaan Melayu di Darmacraya[27]. Hasil daripada serangan itu, Raja Minangkabau dan raja Melayu(Jambi) telah ditakluki sebelum 1292[28]. Selesai peperangan ini, Raja Kartanegara membawa dua orang puteri anak raja Melayu, Tribhuwanaraja Mauliwarmadewa ke Jawa. Dua orang puteri tersebut bernama Dara Jingga dan Dara Petak. Dara Petak dijadikan gundik oleh Raden Wijaya dan lahirnya Jayanegara. Jayanegara menjadi raja Majapahit dari tahun 1309 hingga 1328. Dara Jingga pula berkahwin dengan pembesar kerajaan Majapahit yang bernama Adwayawarman. Hasil perkahwinan ini maka lahirlah Abhisekaraja Mantrolot dan nama lainnya ialah Arya Damar atau Adityawarman[29]. Kartanagara menghantar tokoh politik yang bernama Adityawarman yang berbapakan tokoh kerabat tokoh kerabat keraton Jawa, tetapi beribukan Melayu dari istana Jambi, dalam usaha untuk menanamkan pengaruh politik Jawa di Sumatera. Adityawarman yang berdarah Jawa-Melayu itu, kemudiannya menjadi penegak daulat dan pendiri kerajaan Minangkabau di Pagar Ruyung[30].

Adityawarman memimpin angkatan perang Majapahit ke Sumatera bahagian tengah dan beliau berjaya menguasai daerah tersebut sampai ke pedalaman Minangkabau. Perbezaan politik dengan Gajah Mada, kerengganan dengan pemerintah Majapahit(Bhre Khuripan) dan tidak ada simpati rakyat Majapahit, menyebabkan beliau tidak ada harapan lagi untuk mewarisi mahkota kerajaan Majapahit Pada tahun 1334 M Adityawarman pulang ke negeri asalnya kerajaan Melayu yang berpusat di Darmacraya Minangkabatu di Sumatera[31].

Pada tahun 1347 M Adityawarman menjadi raja di kerajaan Melayu yang berpusat di Darmacraya. Adityawarman menyusun kembali pemerintahannya seperti pada zaman neneknya raja Mauliwarmadewa, pada tahun 1286. Pada tahun 1349, beliau memindahkan pusat kerajaannya dari Darmacraya(Siguntur) ke Pagarruyung, dekat Batusangkar. Pemindahan pusat pemerintahannya sebagai simbolik bahawa kerajaanya tidak ada hubungan lagi dengan kerajaan Majapahit.[32] Berdasarkan prasasti Kubo Rajo yang bertarikh 1349 di Lima Kaum Batusangkar beliau menyebut dirinya Tanah Kanaka. Tanah Kanaka adalah nama lain untuk menyebut nama pulau Sumatera. Di Pagarruyung, beliau mendirikan dinasti baru yang dikenali sebagai Kulicadhara atau dinasti Indera. Sungguhpun beliau menyatakan dirinya raja pulau Sumatera, namun demikian beliau tidak memerintah seluruh pulau tersebut. Beliau berhasil membangun kerajaan Pagarruyung dan kerajaanya tidak diganggu oleh kerajaan Majapahit. Hal ini disebabkan beliau juga adalah seorang negarawan Majapahit.

Kerajaaan Pagarruyung berakhir pada abad ke-19 apabila terjadinya gerakan Paderi di Sumatera Barat. Pertempuran di Padang Sibusuk pada tahun 1409 M, menyebabkan kerajaan Pagarruyung sangat lemah dan kerajaan ini hanyalah bersifat lambang sahaja. Sultan yang terkenal pada tahun 1560 ialah Sultan Alif. Beliau dipercayai beragama Islam tetapi malangnya kekuasaannya sangat lemah. Pada zaman kekuasaanya sistem pemerintahan dapat dibahagikan kepada dua bahagian, iaitu Raja dan Dewan Menteri. Bahagian Raja dikenali dengan Raja Tiga Selo iaitu Raja Alam di Pagarruyung sebagai pucuk pimpinan, Raja Adat di Buo yang berurusan dengan adat, dan Raja Ibadat di Sumpur Kudus yang berurusan dengan hal keagamaan. Pada tingkat menteri adalah Dewan Menteri yang diistilahkan dengan nama Basa Ampek Balai iaitu; Bandaro(Titah) di Sungai Tarab sebagai Perdana Menteri, Tuan Kadi di Padang Genting dalam urusan keagamaan, Indomo di Suruaso dalam urusan kewangan dan Makhdum di Sumanik dalam urusan pertahanan dan daerah rantau[33]. Pada waktu ini hubungan dengan dunia luar dan kerajaan yang bertetangga dengannya sudah berlaku terutama dengan kerajaan Aceh, bangsa Portugis, bangsa Belanda dan bangsa Inggeris.

Kemasukan Belanda ke Sumatera Barat pada pertengahan abad ke-17 dan kemudiannya disusul oleh bangsa Inggeris menyebabkan para penduduk di daerah pesisir berkenalan dengan kebudayaan Barat. Mereka tidak dapat memujuk orang-orang Islam untuk menukarkan agama Islam kepada agama Krestian. Namun demikian, mereka telah berjaya memperkenalkan amalan minum-minuman keras, berjudi, menghisap candu, dan permainan berlaga ayam. Kebiasaan ini menyebabkan ramai penduduk menjadi miskin, dan mereka menjual tanah mereka kepada Belanda dan Cina. Mereka juga malas melakukan pekerjaan seharian mereka seperti bertani dan berniaga. Hal ini bukan sahaja, berlaku dikalangan rakyat biasa tetapi juga dikalangan penghulu mereka. Keadaan ini menyebabkan golongan ulama Minangkabau merasa sangat sedih tentang tingkah laku penduduk yang telah meninggalkan kewajipan agama mereka. Pada tahun 1803, golongan ulama berhasil membina kekuatan dan mendirikan gerakan Paderi untuk melakukan gerakan pemurnian agama Islam di Minangkabau. Gerakan ini dipimpin oleh tiga orang ulama Minangkabau iaitu, Haji Miskin di Pandai Sikat(Luhak Agam), Haji Muhammad Arif di Sumanik(Luhak Tanah Datar), dan Haji Abdur Rakhman di Piabang(Luhak Limapuluh Koto) yang baru kembali dari Mekah[34]. Mereka berusaha untuk merebut kekuasaan tersebut dari tangan penghulu dan mereka berjaya mengakhiri kekuasaan kerajaan Pagarruyung pada tahun 1809. Pada tahun 1803 bermulalah gerakan pemurnian agama Islam di Minangkabau yang membawa faham pembaharuan agama Islam dari Mekah yang disebut Kaum Wahabi.[35]

Kekuasaan Inggeris dan Belanda akhir abad ke-18 dan permulaan abad ke-19 terbatas di pesisir Barat kerajaan Pagarruyung. Daerah pedalaman dikuasai oleh Kaum Paderi. Belanda dengan dibantu oleh golongan kaum adat berusaha untuk memerangi kaum Paderi. Melalui kaum adat, Belanda dapat mengetahui jalan-jalan untuk menyerang pertahanan kaum Paderi di Minangkabau. Akhirnya, Kaum Paderi dapat dikalahkan oleh Belanda. Malangnya, golongan adat tidak dipedulikan oleh Belanda dan mereka merasakan dirugikan oleh Belanda. Akhirnya pada tahun 1833, di lereng Gunung Tandikat tercapai kata sepakat antara golongan adat dan kaum Paderi untuk bersatu mengusir Belanda dari Minangkabau. Mulai tahun 1833, timbullah perlawanan rakyat untuk menentang Belanda. Pada waktu ini, mereka melantik Tuanku Imam Bonjol sebagai ketua mereka. Pusat perlawanan rakayat ialah di negeri Bonjol dan Tuanku Imam Bonjol menguatkan pertahanan di Bukit Tajadi[36].

Pada 15 Ogos 1837, Bukit Tajadi jatuh ke tangan Belanda dan 16 Ogos 1837 benteng Bonjol jatuh ke tangan Belanda. Melalui tipu muslihat Belanda, Tuanku Imam Bonjol ditahan di Bukittinggi, dipindahkan ke Padang dan seterusnya ke Cianjur dan pada tahun 1839 dibuang ke Menado. Pada 8 November 1864, Tuanku Imam Bonjol meninggal dunia dalam usia 92 tahun[37].

Berakhirnya perang tersebut, Belanda mengalami kerugian yang sangat besar dan untuk menampung kos perang tersebut, Belanda memperkenalkan Tanaman Paksa Kopi. Usaha yang dilakukan oleh Belanda mendapat tentangan dari penduduk. Akhirnya, pada tahun 1908 tanaman paksa tersebut terpaksa dihapuskan.[38]

Pada tahun 1837 seluruh daerah Sumatera Barat dikuasai oleh pemerintah Belanda dan penduduk peribumi terpaksa mengikut sistem yang diperkenalkan oleh pihak penjajah. Walaupun Belanda dapat menduduki Sumatera Barat, namun demikian perlawanan dari rakyat terus berlaku. Rakyat tidak berpuas hati dengan sikap dan perbuatan Belanda. Peraturan Blasting pada 1 Mac 1908 oleh Belanda, menyebabkan pemimpin rakyat Manggopoh bangkit melawan Belanda. Pemimpin rakyat Manggopoh ini ialah Hasik Bagindo Magek dan dibantu oleh isterinya bernama Sitti.[39] Demikian juga dengan Perang Silungkang, yang berlaku pada 31 Desember 1926 telah meletus suatu perlawanan rakyat menentang pemerintah Belanda. Mereka menentang adalah untuk membebaskan diri mereka dari belenggu penjajah. Walaubagaimanapun, perlawanan rakyat Silungkang dapat dipatahkan oleh Belanda pada 12 Januari 1927[40]. Kesedaran untuk membebaskan diri dari belenggu penjajah timbul kerana adanya golongan intelektual Sumatera Barat yang mendapat pendidikan di dalam dan di luar negeri terutama alim-ulama yang mendapat pendidikan di Negara Arab. Timbulnya kegagalan dalam perjuangan, menyebabkan mereka menukar teknik perjuangan dengan mendirikan organisasi, pendidikan, dan komunikasi untuk membangkitkan kesedaran rakyat menentang penjajahan Belanda[41]. Peristiwa ini terjadi antara tahun 1900 – 1942. Setelah Paderi dikalahkan, Belanda mengusai Minangkabau sampai Jepun datang ke Indonesia pada tahun 1942. Setelah Jepun kalah pada Perang Pasifik pada tahun 1945, Minangkabau bersatu ke dalam Negara Republik Indonesia.[42]

3.0 Faktor-faktor Lahirnya Penulis Novel Kelantan dan Sumatera Barat(1920 –

2000)

Perbincangan dalam bahagian ini ditumpukan kepada faktor-faktor yang menyebabkan lahirnya penulis Kelantan dan Sumatera Barat khususnya dalam bidang penghasilan novel. Faktor-faktor kelahiran ini dapat dilihat secara langsung ataupun tidak langsung. Fokus pembicaraan ini bukan sahaja ditumpukan kepada zaman awal pertumbuhan novel di Malaysia dan Indonesia terutama akhir abad ke-19 dan awal abad ke-20 tetapi faktor-faktor ini akan dibincangkan sesuai dengan perkembangan zaman sehingga akhir abad ke-20. Perbincangan ini bukan sahaja dihadkan kepada faktor-faktor tempatan(Kelantan dan Sumatera Barat) tetapi perbincangan ini akan ditumpukan secara meluas sesuai dengan kedudukan Tanah Melayu yang diperintah oleh Inggeris dan Indonesia yang diperintah oleh Belanda sehingga kedua-dua negara ini telah membentuk sebagai sebuah negara yang merdeka.

3.1.1 Faktor-faktor Lahirnya Penulis Novel Kelantan(1920 – 2000)

a) Lanjutan Tradisi dalam Sastera Melayu

Penghayatan terhadap kesusasteraan, khususnya yang berbentuk kreatif, begitu ketara walaupun yang membawa tema agama. Penulisan kitab, misalnya walaupun yang dibincangkan itu mengenai soal-soal akhlak menurut kebenaran al-Quran dan al-Hadis yang jelas bentuk dan maksudnya, tetapi ditulis dalm bentuk syair. Menurut S. Othman Kelantan, hal ini dapat dibuktikan apabila kajian dibuat ke atas syair-syair sebelum Perang Dunia II, akan ditemui banyak sekali karya-karya yang ditulis oleh ulama-ulama yang di seluruh Malaysia, terutama dari Pantai Timur. Walaupun karya syair itu boleh dimasukkan ke dalam penulisan sastera kitab, tetapi kerana masih bersifat kreatif dengan seni kesusasteraan, bukan lagi hanya penerangan agama semata-mata[43].

Masyarakat Melayu Kelantan sebagaimana juga dengan masyarakat Melayu yang lain sudah terdedah dengan sastera Melayu tradisional sama ada daripada tradisi lisan atau tradisi bertulis yang saling pengaruh mempengaruhi yang telah lama wujud dan kekal dalam dalam masyarakat Melayu. Penceritaan sastera hikayat lebih dikenali dengan kata bari dalam dailek bahasa Melayu Kelantan. Antara hikayat-hikayat tersebut ialah Hikayat Malim Deman, Hikayat Malim Dewa, Hikayat Sulung Merah Muda, Hikayat Anggun Cik Tunggal, Hikayat Terung Pipit, Hikayat Raja Muda, Hikayat Parang Putting, Hikayat Sang Kancil, Hikayat Pelanduk Jenaka dan Cerita Jenaka. Cerita-cerita hikayat ini telah menjadi sehati dengan kehidupan masyarakat Melayu yang kemudiannya telah menerima pengaruh Hindu dan Islam, termasuk kesusasteraan. Penerimaan agama Islam juga menyebabkan pengaruh hikayat tentang nabi-nabi dan tokoh sejarah Islam[44].

Kelantan juga sangat kaya dengan kegiatan tradisi kesusasteraan yang bersifat lisan. Masyarakatnya sangat mencintai dan menyanjung tinggi hasil-hasil kesusasteraan lisan dan mereka juga turut bersama untuk menghidupkan kegiatan tersebut. Kegiatan kesusasteraan lisan tersebut termasuklah Wayang Kulit, Mak Yong, Main Puteri, Dikir Barat adalah sebahagian daripada bentuk kesusasteraan lisan. Walaupun bentuk kesusasteraan ini dianggap sebagai medium untuk golongan bawahan, namun demikian cerita-cerita yang dipaparkan yang diambil dari versi cerita Mahabharata dan Ramayana mencabar minda khalayaknya[45]. Kemampuan Tok Dalang dalam permainan wayang kulit membuatkan cerita-cerita ini sangat mudah untuk diingat dan dihayati oleh khalayaknya. Ini menunjukkan masyarakat Kelantan sangat mencintai dan menghayati hasil-hasil kesusasteraan. Oleh yang demikian, apabila hasil kesusasteraan tulisan mula muncul khususnya dalam bidang novel ia dapat diterima oleh sebahagian besar masyarakatnya terutama yang mengenal tulisan sama ada tulisan Jawi atau Rumi.

b) Pengaruh Akhbar, Majalah dan Penerbit dalam Persuratan Melayu

Pengaruh akhbar dan majalah Melayu mempunyai pengaruh yang sangat besar

dalam usaha membuka fikiran orang Melayu dan menanamkan semangat kesedaran kebangsaan. Hal ini dapat dilihat terutamanya zaman sebelum Perang Dunia II. Selain itu, bahasa Melayu juga dapat dikembangkan ke arah pembaharuan supaya dapat memenuhi permintaan zaman. Akhbar Melayu pertama mula diterbitkan di Singapura dengan nama Jawi Peranakan pada tahun 1876. Seterusnya pada tahun 1900, 1906, 1911, 1914 dan 1925 dengan nama Bintang Timur di Pulau Pinang, Al-Imam di Singapura, Neraca di Singapura, Lembaga Melayu di Singapura dan Idaman Zaman di Pulau Pinang[46].

Setelah akhbar dan majalah telah menjadi sebahagian daripada alat menyebarkan

fikiran rakyat, maka genre novel mula mengambil tempat bersama-sama dengan perkembangan puisi dan cerpen. Perkembangan ini berterusan sehingga munculnya genre novel, sama ada dalam bentuk buku atau disiarkan secara bersiri dalam majalah-majalah sebelum perang dan selepas perang. Perkembangan ini menunjukkan betapa pesatnya penciptaan karya kratif yang merakamkan pelbagai ragam pemikiran manusia Melayu sejak sebelum perang sehingga sekarang. Hal ini dapat dibuktikan dengan munclnya novel Acuman Mahkota, Sebelas Rajab dan Melati Kota Bharu oleh Abdul Kadir Adabi. Ketiga-tiga novel ini sebenarnya dimuatkan dalam majalah al-Hikmah(1937 – 39) yang diterbitkan di Kota Bharu, Kelantan[47]. Pada tahun 1960an penerbit-penerbit persendirian telah muncul. Penerbit itu telah menggalakan penulis-penulis dengan memberi wang pendahuluan kepada. Penerbit misalnya Marwilis Publisher, Creative Workshop Sdn. Bhd. Utusan Melayu Publications dan Distributors, Creative Enterprise merupakan penerbit yang banyak menerbitkan hasil penulisan Norhisham Mustaffa khususnya dalam bidang novel. Ini merupakan satu insentif yang baik kepada penulis tersebut.

Walaubagaimanapun, peranan Dewan Bahasa dan Pustaka memainkanan peranan yang sangat penting dalam memperjuangkan Bahasa Kebangsaan dan memikiul tugas-tygas mengikut dasar-dasar tujuannya. Dewan Bahasa memainkan peranan yang penting dalam memperjuang dan meluaskan pemakaian bahasa Kebangsaan. Semenjak Dewan Bahasa dan Pustaka ditubuhkan pada bulan Jun 1956 di Johor Bharu dan dipindahkan ke Kuala Lumpur pada tahun 1957.[48] Dewan Bahasa dan Pustaka sudah menerbitkan beratus-ratus novel novel termasuk penulis dari Kelantan. Semenjak Dewan Bahasa dan Pustaka menubuhkan cawangannya di wilayah timur yang beroperasi di Kota Bharu, secara tidak langsung mempercepatkan lagi perkembangan dalam bidang kesusasteraan termasuk pertumbuhan novel di negeri Kelantan.

Penglibatan penerbit dari luar negeri yang berusaha menerbitkan novel-novel yang diterjemahkan ke dalam pelbagai bahasa akan mengangkat imej penulis. Karya-karya yang ditulis oleh S. Othman Kelantan terutama novel dan cerpen diterbitkan oleh penerbit dari luar negeri misalnya novel Wajah Seorang Wanita. Novel ini diterjemahkan ke bahasa Jepun dan diusahakan oleh The Daido Life Foundation, sebuah organisasi di Jepun bukan bermotifkan keuntungan memilih novel berkenaan dalam siri terjemahan dan Penerbitan Kesusasteraan Moden Asia yang ditanganinya.[49]

c) Pengaruh Pendidikan dari Timur Tengah

Cendikiawan agama di negara ini sudah mengenali hikayat-hikayat lama dari golongan atau naratif Islam. Waktu mereka berada di Mesir akhir abad ke-19 mereka sempat membaca karya-karya novel Barat melalui terjemahan dalam bahasa Arab yang pada waktu itu berlaku secara giat. Oleh sebab itu, apabila mereka pulang ke tanah air, maka bentuk novel yang ditulisnya adalah menyamai dengan apa yang pernah diwarisinya daripada hikayat-hikayat Melayu lama dan yang dikenalinya tatkala menuntut di Mesir dahulu, iaitu novel romantis yang lebih banyak memiliki ciri-ciri hikayat. Pengarang misalnya Syed Syeikh Al-Hadi dengan novelnya Hikayat Faridah Hanum banyak mengungkapkan unsur-unsur sedemikian rupa. Teknik yang terpakai dalam novelnya itu melahirkan kesan besar sehingga menjadi ikutan novel-novel lain, iaitu ciptan penulis yang segolongan dengannya, seperti yang terlihat dalam novel-novel Ahmad Rashid Talu.[50]

Sewaktu pelajar ini belajar di Timur Tengah, mereka telah terpengaruh dengan gerakan pembaharuan Agama Islam yang berasal dari Mesir dan Turki. Gerakan ini bertujuan menyeru kebangkitan Islam dan mengembalikannya kepada kemurniannya. Gerakan ini menyebabkan penambahan jumlah hasil terjemahan dan saduran karya sastera dari Timur Tengah atau karya barat yang diterjemahkan ke dalam bahasa Arab. Faktor ini ikut bertanggungjawab untuk memberikan sifat didaktik dan moral kepada proses perkembangan novel di Tanah Melayu[51]. Pengaruh daripada gerakan yang muncul di Timur Tengah ini tertanam kepada penggerak agama di Tanah Melayu yang seterusnya mencetuskan semangat nasionalisme. Semangat mereka ini tersebar luas melalui rencana di akhbar, majalah dan juga karya sastera seperti novel. Disamping itu para ulama yang kembali dari Timur Tengah khususnya dari Arab Saudi menyeru agar masyarakatnya mengikuti faham Pan-Islamik dan menyalakan semangat pembaharuan[52]. Pembaharuan ini disambut oleh penulis-penulis di Tanah Melayu dan idea ini dapat dilihat melalui novel-novel yang dihasilkan pada zaman itu. Idea pembaharuan ini dapat dilihat dalam novel Melati Kota Bahru, Acuman Mahkota dan dan Sebelas Rajab hasil karya Abdul Kadir Adabi.

Institusi pondok juga dapat dianggap telah memberi sumbangan yang sangat besar kepada proses perkembangan novel di Tanah Melayu terutama di Kelantan. Guru pondok yang terkenal di Kelantan misalnya Tuk Kenali banyak menghasilkan sumbangan fikiran melalui tulisan terutama melalui majalah Pengasuh yang didirikannya pada tahun 1918. Beliau banyak mendorong pelajar-pelajar dari lepasan pondoknya untuk mendirikan syarikat penerbitan terutama di Pulau Pinang. Pendidikan pondok bukan sahaja memberi pendidikan secara konvesional tetapi guru-gurunya ini juga ada dari lepasan Timur Tengah. Guru-guru inilah yang banyak mendorong pelajar-pelajarnya untuk menghasilkan tulisan malahan Tok Kenali juga banyak menghasilkan tulisan ilmiah dan karya kreatif khususnya syair untuk tatapan pembaca pada masa itu[53]. Tuk Kenali juga turut bertanggungjawab dalam pembukaan sekolah Al-Madrasah Al-Muhammadiyyah Al-Arrabiyyah Al-Kilantaniyyah, sebuah sekolah agama berbahasa pengantar Melayu pada 5 Ogos 1917 dan sekolah aliran bahasa Arab, Madrasah Al-Muhammadiyyah Al-Arabiyyah pada tahun 1937. Pendidikan Islam yang lebih tersusun dan kepelbagaian subjek bermula di Kota Bharu apabila Menteri Besar Kelantan pada masa itu memberi kepercayaan kepada Tuk Kenali untuk mendirikan Maahad Muhammadi. Sekolah-sekolah ini memberi sumbangan yang sangat besar kepada proses intelektual dan mengislahkan pemikiran umat Islam di Kelantan sebelum Perang Dunia Kedua[54]. Norhisham Mustaffa seorang pengarang novel yang muncul pada dekad 70-an pernah mendapat pendidikan di Madrasah Islamiah Gual Periok dan Madrasah Huda, Rantau Panjang.

d) Lahirnya Institusi Pendidikan yang Bersifat Formal

Pada tahun 1816, Penang Free School ditubuhkan dan bermulalah era

pendidikan moden di Tanah Melayu. Seterusnya sekolah Melayu yang pertama di buka di Tanah Melayu iaitu di Glugor dan diikuti pula sekolah Melayu Air Hitam dan Bayan Lepas. Perkembangan sekolah Melayu semakin pesat misalnya di negeri-negeri Melayu Bersekutu berjumlah 131 buah pada tahun 1898 iaitu 81 buah di Perak, 28 buah di Selangor, 19 buah di Negeri Sembilan dan 3 buah di Pahang. Sekolah-sekolah Melayu juga mula dibuka di Kelantan terutama yang diusahakan oleh Tuk Kenali selepas beliau pulang dari Makkah pada tahun 1910. Sekolah-sekolah tersebut termasuklah Sekolah Melayu Kubang Kerian pada tahun 1920 dan Sekolah Melayu Mentuan, Tumpat. Walaupun Tok Kenali meggalakkan sistem pondok, tetapi beliau tidak pernah menghalang wujudnya sistem persekolahan formal, asalkan pelajaran yang diajar tidak menyelewang daripada ajaran Islam yang suci[55]. Pertambahan sekolah ini memerlukan tenaga guru yang terlatih dan sebuah maktab latihan guru di Singapura dibuka pada tahun 1878 dan 17 tahun kemudian maktab ini ditutup. Pada tahun 1913 didirikan maktab latihan guru di Matang, Perak dan pada 23. 11. 1922 didirikan pula Maktab Perguruan Sultan Idris(SITC; Sultan Idris Training College)[56]

Maktab Perguruan Sultan Idris(MPSI) Tanjung Malim telah melahirkan

guru-guru Melayu dan mereka banyak menghasilkan novel-novel sebelum perang. Sewaktu mereka menuntut mereka mempelajari hikayat-hikayat lama dan matapelajaran Kesusasteraan Melayu. Apabila mereka diperkenalkan dengan novel-novel Inggeris melalui terjemahan yang dilakukan di Pejabat Karang Mengarang di MPSI, mereka mendapati karya itu terdiri daripada novel-novel yang bersifat romantis dan pengembaraan yang lebih menghampiri sifat hikayat atau ‘romance’. Karya-karya tersebut termasuklah ciptaan-ciptaan Jonathan Swist, R-L Stevenson, Daniel Defoe, Sir Arthur conan Doyle dan Jules Vernes iaitu novel Gullivers Travels, Tresure Island, Robinson Cruisoe, Adventures of Sherlock Holmes dan Round the World in 80 days. Terjemahan cerita-cerita dongeng Eropah juga mempunyai persamaan dengan cerita rakyat Melayu misalnya Robinhood, Cinderella dan Grimn Telles. Walau bagaimanapun, penulis pada waktu itu sama ada di Kelantan atau negeri-negeri lain lebih meminati bentuk-bentuk hikayat lama yang telah sehati dengan diri mereka dan hasilnya telah mempengaruhi novel-novel awal karya mereka[57]. Pengaruh karya klasik ini dapat dilihat dengan jelas terutamanya dari segi penamaan judul novel itu sendiri misalnya Hikayat Faridah Hanum(1926) oleh Syed Syeikh Al-Hadi, Hikayat Khalik dan Malik(1927) oleh Zulkarnain Yakub, Hikayat Percintaan Kasih Kemudaan(1927) oleh Ahmad Kotot.

Mulai tahun 1960an dan 1970an jumlah pembaca novel juga telah bertambah. Pembaca-pembaca tahun 1960an bukan lagi lulusan sekolah atau guru sekolah rendah atau wartawan dan angkatan tentera sahaja. Pembaca adalah orang-orang yang mendapat pendidikan menengah bahkan berpendidikan tinggi. Mereka memerlukan bahan bacaan yang sesuai dengan selera mereka. Pada tahun 1959, Universiti Malaya telah membuka Jabatan Pengajian Melayu. Pada tahun 1969 dan 1970 Universiti Sains Malaysia dan Universiti Kebangsaan Malaysia telah dibuka dan universiti ini menawarkan kursus dalam bidang kesusasteraan. Mahasiswa-mahasiswa ini juga menjadi pembaca dan peminat kesusasteraan Melayu. Dengan ini dapatlah dianggap bahawa institusi pengajian tinggi telah memberi sumbangan penting dalam menggalakan pertumbuhan kesusasteraan termasuk dalam bidang perkembangan novel. Pada dekad ini juga lulusan sekolah menengah dan universiti telah muncul sebagai penulis novel. Fenomena ini juga dapat di lihat di negeri Kelantan dengan munculnya S. Othman Kelantan, Fatimah Busu dan Norhisham Mstaffa[58]. Fatimah Busu mendapat Ph.D dari Universiti Sains Malaysia pada tahun 1989 dan S. Othman Kelantan mendapat ijazah Ph.D dari Universiti Kebangsaan Malaysia pada tahun 1994. Memang tidak dapat dinafikan semakin tingginya ilmu pengetahuan yang ada pada seseorang pengarang, karya yang dihasilkan juga mempunyai mutu sama ada dari aspek teknik dan pemikiran.

e) Kegiatan Orang Inggeris dalam Kajian Sastera Melayu

Pada tahun 1924 di Maktab Perguruan Sultan Idris telah ditubuhkan sebuah

Pejabat Karang-Mengarang. Pejabat ini dipimpin oleh seorang pegawai Inggeris iaitu O.T Dussek yang sangat meminati pengkajian kesusasteraan Melayu. Melalui Pejabat Karang-Mengarang masyarakat Melayu telah diperkenalkan dengan berbagai jenis cerita. Contohnya cerita mata-mata gelap(rokambul), kisah-kisah pengembaraan dan karya-karya asli. Melalui usaha ini, kegembaran membaca dapat ditanamkan pada masyarakat Melayu dan kesedaran kesusasteraan mula dibina dikalangan orang-orang Melayu. Tidak dapat dinafikan juga Pejabat Karang Mengarang telah memberi perangsang kepada guru-guru sekolah Melayu untuk menceburkan diri dalam lapangan kesusasteran. Mengikut guru-guru lepasan Maktab Perguruan Sultan Idris(SITC) dorongan untuk mereka menulis datang setelah mereka membaca buku-buku cerita terjemahan keluaran “The Malay Home Library Series”[59]. Lagi pun guru-guru ini telah diasuh meminati kesusasteraan Melayu. Mereka berkesempatan membaca, mengkaji da menghayati naskah-naskah Melayu lama dan buku-buku pengetahuan disamping karya-karya terjemahan dari bahasa Inggeris yang diterjemahkan oleh pejabat ini. Hasilnya, calun-calun guru ini banyak berkenalan dengan hasil-hasil kesusasteraan dunia. Sehubungan dengan itu, mereka pasti terpengaruh dan muncul sebagai penulis terkenal. Mereka kemudiannya menghasilkan cerpen, sajak dan novel untuk tatapan masyarakat Melayu. Pejabat Karang Mengarang telah menambah jumlah buku-buku bacaan untuk sekolah rendah yang sesuai buat zamannya. Buku-buku itu terus digunakan hingga tahun 1960an tetapi buku-buku untuk sekolah menengah tidak diterbitkan. Pejabat Karang Mengarang juga menerbitkan buku-buku peraduan karang-mengarang yang dianjurkan oleh Pejabat Pelajaran. Buku-buku termasuklah Cincin Rahsia, Pahlawan Berkaki Kayu, Hidup Berjuang dan Cerita-cerita Rekaan.

f) Pergerakan yang Bersifat Politik di Kalangan Orang Melayu

Kesedaran semangat kebangsaan dikalangan anak peribumi sebenarnya sudah

bermula sebelum Perang Dunia Kedua. Kesedaran ini juga berlaku di Kelantan sama ada dari golongan alim ulamak, golongan guru dan golongan wartawan. Abdul Kadir Adabi juga seorang nasionalis Melayu Kelantan dan beliau membicarakan semangat kebangsaan ini melalui hasil tulisannya terutama di dalam majalah Pengasuh yang diusahakan oleh Tok Kenali. Abdul Kadir Adabi merupakan seorang yang gemar menjelajah seluruh pelusuk tanahair termasuk Singapura dan Selatan Thailand. Tujuannya ialah untuk meninjau suasana politik, ekonomi, dan sosial tempat-tempat yang disingahinya. Dalam lawatan itulah Abdul Kadir berkesempatan bersemuka dan berbincang dengan tokoh-tokoh pergerakan masyarakat tempatan. Kecintaan padunya kepada tanahair yang dikongsi bersama-sama tokoh bersama tokoh Kesatuan Melayu Muda(KMM). Beberapa idea KMM dapat dilihat dalam novel Melati Kota Bharu.

g) Pertubuhan Melayu yang Bersifat Bahasa dan Persuratan

Pakatan Bahasa Melayu dan Persuratan buku-buku Diraja mula ditubuhkan

Di Johor Baharu dalam tahun 1888 dan dinamakan Pakatan Belajar-Mengajar Pengetahuan bahasa dipimpin oleh Dato’ Abdul Rahman bin Andak yang bergelarDato’ Seri Amar Diraja. Pada tahun 1934 nama ditukar menjadi Pakatan Bahasa Melayu dan Persuratan Buku-buku Diraja. Orang yang terpenting dalam pertubuhan ini ialah Dato’ haji Muhammad Said. Beliau menganjurkan orang-orang Melayu menulis dan menerbitkan tulisan supaya dapat memperkaya kesusasteraan Melayu[60]. Seterusnya Persaudaraan Sahabat Pena Malaya ditubuhkan pada 15 April 1934 dan tujuan penubuhan ini termasuklah henak menggalakkan karang-mengarang dan baca-membaca dalam bahasa Melayu[61]. Dengan adanya dorongan dari pertubuhan ini akan menggalakan lagi orang ramai untuk menghasilkan novel.

h) Pengaruh Karya Sastera dan Majalah dari Indonesia

Hubungan antara pelajar-pelajar Melayu dengan Indonesia di Mesir erat sekali. Dengan usaha bersama, mereka menerbitkan majalah ‘Seruan Azhar’ dan ‘Pilihan Timur’. Majalah ini diterbitkan di luar negeri dan mereka bebas membicarakan soal-soal pendidikan, sosial dan politik orang-orang Melayu. Bila mereka pulang ke tanah air mereka menerbitkan sendiri majalah untuk di baca oleh masyarakat di Nusantara. Majalah-majalah yang diterbitkan di Indonesia secara meluas di baca oleh orang-orang Melayu di Tanah Melayu. Ini menunjukkan bahan bacaan dari Indonesia terutama dari Sumatera telah lama berkembang terutama pada awal abad ke-20 dan mendapat tempat yang istimewa dalam masyarakat Melayu di Tanah Melayu.

Pengaruh dalam bidang bahasa dan sastera semakin berkembang apabila Kongres Pemuda Indonesia II pada 28 Oktober 1928 telah memutuskan untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa persatuan dengan nama Bahasa Indonesia. Pengambilan bahasa Melayu sebagai bahasa Indonesia telah memberikan semangat baru kepada orang-orang Melayu untuk mengembangkan lagi kesusasteraan mereka. Pengarang-pengarang novel misalnya Harun Aminurrashid, Yasin Ma’amor, Raja Mansor, Abdullah Sidek, Abdul Kadir Adabi banyak membaca novel-novel yang ditulis oleh pengarang Indonesia misalnya Sitti Nurbaya(1922), Darah Muda(1927) dan Di Bawah Lindungan Ka’bah(1933).

Pengarang-pengarang pada awal tahun 30an khususnya Abdul Kadir Adabi merupakan seorang yang rajin membaca. Hal ini termasuklah bahan-bahan bacaan dari Indonesia. Menurut Rosnah Baharudin novel Melati Kota Bharu mempunyai hubungan yang sangat erat dengan novel yang ditulis oleh Swan Penn(nama samaran Prada Harahap, seorang tokoh wartawan Indonesia) iaitu Melati Van Agam. Pengaruh ini dapat dilihat berdasarkan novel Melati Kota Bharu yang memilih bunga sebagai tajuk yang dilambangkan pada wanita telah dimulakan oleh Swan Penn[62]. Sebelum itu pada tahun 1932, Ahmad Syarkawi juga mengunakan unsur bunga dalam pemilihan judul novelnya di Sarawak iaitu Melati Sarawak dan pengarang ini juga sebenarnya berasal dari Sumatera Barat. Pengarang dari Tanah Melayu juga mendapat tempat dalam majalah Pujangga Baru dari Indonesia apabila hasil karya mereka diterbitkan dalam majalah tersebut. Hal ini dapat dilihat melalui sajak Harun Aminurashid yang berjudul “Oh! Sariku”.[63]

Pengarang-pengarang Novel pada tahun 1930an ada yang berasal dari Indonesia khususnya dari Sumatera. Mereka juga telah membantu mempercepatkan penulisan novel di Tanah Melayu apabila mereka menjadikan negara ini sebagai destinasi mereka. Salah satu sebab mereka berhijrah ke Tanah Melayu berikutan tekanan politik penjajah Belanda. Pengarang-pengarang tersebut termasuklah Raja Mansor, Shamsuddin Salleh, Yunus A. Hamid, Ahmad Nur A, Shukur dan Muhammad Sanin Taib[64]. Selepas Tanah Melayu merdeka, Idrus seorang pengarang dari Padang, Indonesia pernah menetap di Kuala Lumpur.

Pengaruh kepada sastera dari Indonesia cukup tinggi bukan sahaja pada tahun

tahun 20-an dan 30-an tetapi minat ini terus berkembang sehingga sekarang. Aliran masuk novel-novel dan bahan bacaan dari Indonesia pada akhir tahun 1940-an sehingga 60-an banyak membanjiri pasaran buku di Malaysia. Beberapa novel dari pengarang Indonesia misalnya Atheis, Keluarga Geriliya, Salah Asohan dan Sitti Nurbaya pernah menjadi bacan wajib kepada pelajar di peringkat menengah dan universiti pada tahun 1960 - 1990. Ini membuktikan bahawa pengarang Malaysia belajar dari pengarang Indonesia. Hal ini dapat dilihat dalam koleksi perpustakaan peribadi milik Norhisham Mustaffa yang mempuyai koleksi majalah sastera Horison disamping majalah-majalah serius dan bertemakan agama dari Indonesia seperti Basis, Islamik, dan Kalam[65].

i) Peraduan dan Penganugerahan Penulisan Karya Sastera

Sehingga kini, anugerah yang dianggap mempunyai imej yang tinggi kepada pengarang dan dianjurkan secara berterusan ialah Anugerah Sastera Perdana dan Hadiah Sastera Utusan. Hadiah-hadiah sastera yang lain seperti Hadiah Sastera Pelbagai kaum, Hadiah Sastera Berunsur Islam, Hadiah sastera Esso-GAPENA dan Hadiah Sastera Karyanet dan sebagainya. Anugerah Sastera secara umumnya tidak dapat dinafikan berupaya untuk merangsang dan memotivasikan perkembangan kesusasteraan apabila melihat kepada beberapa rasional. Rasional tersebut termasuklah dapat memberikan keyakinan kepada penulis dan seterusnya kesungguhan untuk menghasilkan karya yang bermutu. Rasional yang kedua ialah ganjaran material berupaya menjadikan penulis menumpukan perhatian sepenuh masa terhadap aktiviti penulisan tanpa diganggu oleh urusan pekerjaan memenuhi keperluan hidup. Persaingan sihat secara tidak langsung dapat menjana daya kreativiti, sensitiviti, dan kebijakasanaan pengarang secara maksima[66]. Pengarang-pengarang yang memenangi hadiah ini akan mendapat publisiti media misalnya di dalam akhbar, majalah, dan televisyen. Hal ini tentunya akan dapat menarik minat peminat dan penilai sastera mengangkat, mengulas, dan mengkritik sesebuah karya penulis. Hal ini secara tidak langsung dapat menguatkan kedudukan seseorang penulis dan akan mendorong kepada penulis untuk menghasilkan karya yang lebih bermutu.

Dewan Bahasa dan Pustaka telah mengadakan peraduan yang diadakan pada tahun 1958 dan Hassan Mohd Ali muncul sebagai pemenang kedua dengan novelnya Musafir. Sebelum itu pada tahun 1955 Zakaria Salleh telah memenangi hadiah kedua dalam peraduan mengarang cerita-cerita panjang anjuran Kementerian Pelajaran dan novel ini diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka.[67] Seterusnya, peraduan pada tahun 1962 Ibrahim Omar dengan novelnya Desa Pingitan mendapat hadiah kedua manakala Lingkaran oleh Arena Wati dan Layang-layang Putus Tali oleh Yahya Samah mendapat hadiah penghargaan. Pada tahun 1967, sempena 10 tahun meredeka, Dewan Bahasa dan Pustaka mengadakan peraduan mengarang novel Malaysia. Hasilnya novel Sandera oleh Arena Wati mendapat hadiah ketiga[68]. Novel-noel lain misalnya Pulanglah Perantau, Merpati Putih Terbang Lagi, Intelek dan Badan Bertuah hasil karya Aziz Jahpin, Khadijah Hashim, Abdullah Hussein dan Ismail Salleh mendapat hadiah penghargaan.

Mulai tahun 1971 kerajaan Malaysia telah mengadakan Hadiah Sastera; karya-karya cerpen, novel, puisi dan drama dihakimkan oleh satu panel hakim Hadiah Sastera. Pada tahun 1971 novel yang memenangi dalam peraduan ini ialah Senja Belum Berakhir dan pengarangnya ialah Azizi Haji Abdullah. Shahnon Ahmad dengan novel Srengenge pada tahun 1973. Hadiah sastera ini diberhentikan pada tahun 1976, tetapi ditingkatkan kepada Anugerah Sastera. Serentak dengan pemberhentian Hadiah Sastera itu, gabungan Penulis Nasional Malaysia(Gapena) telah mengadakan Peraduan Mengarang Novel; kali pertama tahun 1976 dan kali kedua 1979. Kemunculan persatuan-persatuan penulis terutama GAPENA memainkan peranan penting dalam pertumbuhan novel-novel Melayu dengan mengadakan beberapa sayembara.

Walaupun novel-novel yang menang dalam peraduan ini, penulisnya bukan orang Kelantan tetapi galakan ini iaitu, Hadiah Sastera dan Peraduan Mengarang Novel, telah menimbulkan minat di kalangan penulis-penulis Malaysia termasuk dari Kelantan untuk mencipta novel-novel yang serius dan bermutu[69]. Buktinya pada tahun 1962, novel Pelangi hasil karya yang pertama dari S. Othman Kelantan telah mendapat hadiah penghargaan dalam Peraduan Mengarang Novel.

Menyedari akan peranan yang penting, para penulis pada zaman pascamerdeka dan zaman pengisian pembangunan pascamerdeka, Keris Mas, Usman Awang bersama-sama Baha Zain telah menyediakan gagasan awal untuk mewujudkan Anugerah Sastera Negara(ASN) dan telah menyuaraka hasrat itu kepada YAB Tun Hussein Onn, Perdana Menteri Malaysia ketika itu dalam majlis penyampaian Hadiah Karya Sastera 1976 yang berlangsung pada 11 November 1977. Usaha ini adalah untuk meningkatkan taraf sasterawan tanah air melalui pengiktirafan yang berprestij. Akhirnya pada tahun 1979, panel Anugerah Sastera Negara telah dibentuk dan dipengerusikan oleh Datuk Musa Hitam, Menteri Pelajaran pada masa itu dengan Dewan Bahasa dan Pustaka sebagai urus setianya. Pengurniaan anugerah ini disempurnakan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dalam majlis yang gilang-gemilang[70]. Pada 12 Januari 2004 dianggap tahun yang penting kepada penulis Kelantan, kerana pada tahun inilah seorang anak Kelantan telah dinobatkan sebagai penerima Anugerah Sastera Negara ke-9, tahun 2003 iaitu S. Othaman Kelantan. Penerimaan anugerah ini tentunya akan memotivasikan lagi pengarang-pengarang dari Kelantan untuk menghasilkan karya mereka termasuk dalam genre novel.

Bagi anugerah yang bersifat serantau seperti Magsasay, S.E.A. Write Award dan terbaharu MASTERA memilih pemenang daripada kalangan penulis Asia Tenggara, kecuali MASTERA yang menghadkan kepada penulis yang menulis dalam bahasa Melayu (Malaysia, Indonesia, Brunei, dan Singapura). Sementara S.E.A Write Award pula merupakan anugerah yang dianjurkan oleh negara Thailand melalaui badan serta yayasan kerajaan dan swasta untuk sasterawan Asia Tenggara. Penganjur utama anugerah ini ialah The Oriental Bangkok, Syarikat Penerbangan Thai, dan Jim Thomson’s House on the Klong. Di samping itu, Thailand PEN Club dan Persatuan Penulis-penulis Thailand turut memaninkan peranan penting sebagai penggerak anugerah ini. Anugerah ini mula diperkenalkan pada tahun 1979[71]. Pengarang S. Othman Kelantan berasal dari Kelantan telah diterima untuk memenangi anugerah ini pada tahun 1990. Kemenangan ini secara tidak langsung akan memberi dorongan kepada penulis novel di Kelantan untuk mengikuti jejak sebagaimana yang telah ditunjukkan oleh S. Othman Kelantan.

3.2 Faktor-faktor Lahirnya Penulis Novel Sumatera Barat(1920 – 2000)

a) Lanjutan Tradisi dalam Sastera Minangkabau

Masyarakat Minangkabau semenjak dahulu lagi sudah mempunyai pelbagai seni misalnya seni sastera, seni bangunan, seni ukir, seni silat, seni drama dan lain-lain. Walaubagaimanapun, seni sastera merupakan seni yang sangat menonjol dalam masyarakat Melayu Minangkabau. Pembuktian tentang hal ini dapat dilihat dalam kehidupan sehari-hari bahawa mereka menyenangi hasil-hasil kesusasteraan mereka yang diwariskan dari satu generasi ke generasi yang lain. Hampir dalam semua aspek kegiatan hidup orang Melayu Minangkabau menggunakan pidato adat pasambahan dalam setiap upacara misalnya pengangkatan penghulu, majlis kenduri, majlis meraikan kelahiran dan kematian. Ini bermakna seni pidato menduduki tempat tertinggi dalam kehidupan mereka.

Hasil seni sastera yang lain termasuklah pantun, pepatah-petitih, peribahasa, gurindam, dan syair. Berdasarkan kajian sebelum ini, sebelum kedatangan Islam pada abad ke-15 dan 16 ke Minangkabau belum dijumpai pembuktian bahawa orang Melayu Minangkabau mempunyai huruf(tulisan) mereka sendiri. Ini bermakna, Kesusasteraan Minangkabau berkembang secara lisan dan tradisi menulis tidak ada pada zaman ini.

Kedatangan Islam ke Minangkabau telah memberi satu kesan yang sangat besar kepada sastera Minangkabau kerana Islam telah datang membawa huruf Arab. Dengan adanya sedikit perubahan, maka tulisan ini lebih dikenali dengan tulisan Jawi atau huruf Melayu. Ini bermakna segala hasil sastera Minangkabau yang selama ini berkembang secara lisan telah dapat dituliskan. Hasil-hasil sastera ini termasuklah Kaba Cinduo Mato, Malim Deman, Rancak di Labuah, Kaba Anggun Tonga Magek Jabang, Kaba Si Umbuik Mudo, Kaba Puti Nilam Cayo, Kaba Siti Kalasun, Kaba Si Umbuik Mudo, Kaba Puti Gando Nilai, Kaba Anggun nan Tungga, Kaba Sutan Lembak Tuah, kaba Bujang Paman, Puti Gondariah, kaba Sutan Lembak Tuah dengan Siti Rabiatun dan lain-lain. Di Sumatera Barat penerbit yang mencetak kaba ialah Pustaka Indonesia, Indah, Arga, Bayunus dan Tsamaratulichwan. Penulis-penulis novel pada tahun 20an juga menterjemahkan kaba Sabai Nan Aluih(1929) yang ditulis oleh M. Thaib Gelar St. Pamuntjak dalam bahasa Melayu Minangkabau ke dalam bahasa Indonesia.Sabai nan Aluih(1931) yang disusun oleh Tulis St. Sati, Tjerita Malim Deman(1932) oleh Aman Dt. Madjoindo dan Tjerita si Umbut Muda yang ditulis oleh Tulis St. Sati(1930) dan Tjindur Matro(1951) karya Madjoindo[72]. Pengarang ini juga sudah terbiasa dengan syair misalnya Syair Siti Marhumah yang Saleh(1930) dan Syair Rosina(1933)[73]. Hal ini merupakan suatu bukti yang kuat menunjukkan hubungan dan pertalian bahasa dan masyarakat Minangkabau dengan karya berbentuk prosa. Karya-karya ini lebih dikenali dengan kaba dan karya ini digolongkan ke dalam seni drama, kerana telah dipertunjukkan oleh pelakunya di depan khalayak[74]. Sesuai dengan perkembangan mesin cetak, hasil-hasil kesusasteraan ini dicetak dan dapat dibaca oleh seluruh masyarakat sehingga ke hari ini. Berdasarkan kenyataan ini, dapatlah dirumuskan bahawa bahawa masyarakat Minangkabau semenjak dahulu lagi sudahpun mempunyai seni sastera yang tersendiri. Ini bermakna, lahirnya novel yang ditulis oleh orang Minangkabau adalah sebahagian dari lanjutan tradisi tersebut yang sudah lama wujud dalam masyarakat mereka. Hal ini tidak dapat dinafikan kerana novel-novel yang dihasilkan pada tahun 1920-an dan 1930-an masih lagi terikat dengan konvensi yang ada dalam hasil kesusasteraan mereka terutama dari kaba Minangkabau. Unsur-unsur sastera yang lain terutama pantun, pepatah-petitih, syair dan simpulan bahasa masih lagi menebal sebagaimana yang terdapat di dalam novel.

b) Penubuhan Balai Pustaka

Sebelum tahun 1917, Balai Pustaka dikenali sebagai Biro Sastra Rakyat.

Penubuhan Balai Pustaka pada tahun 1917 berperanan untuk;

i) Memberi kesempatan kepada bangsa Indonesia untuk menulis dan disiarkan

sebagai bacaan masyarakat;

ii) Sebagai penghubung antara penulis dengan masyarakat;

iii) Menghidangkan kepada masyarakat bacaan yang baik dan murah;

iv) Menjamin kelangsungan kehidupan hasil-hasl kesusasteraan Indonesia sejak

ia diciptakan hingga ke zaman berikutnya;

v) Memperkenalkan hasil-hasil kesusasteraan dunia dengan menterjemahkan

hasil-hasil kesusasteraan bangsa asing yang bermutu ke dalam bahasa

Indonesia.

Peranan utama kegiatan balai Pustaka ialah sebagai pusat kesusasteraan. Pada tahun 1920-an, ia merupakan satu-satunya pusat kesusasteraan. Balai Pustaka

Bukan saja mendorong para pengarang Indonesia supaya menciptakan novel dengan memberikan kepada mereka kemudahan penerbitan. Ramainya pengarang-pengarang novel dari Sumatera Barat dapat dimungkinkan terutama dengan wujudnya Balai Pustaka. Kebanyakan para penulis Sumatera Barat pernah bekerja pada Balai Pustaka, baik dalam tempoh yang lama atau pun sebentar atau sekurang-kurangnya beberapa buah karya pernah diterbitkan oleh Balai Pustaka. Pengarang novel Sumatera Barat yang terkenal misalnya Nur Sutan Iskandar bekerja di pejabat ini mulai tahun 1919 dan terus-menerus bekerja di sana sehingga beliau bersara. Aman Dt. Madjoindo yang dilahirkan di Solok, Sumatera Barat pada tahun 1896 juga pernah bekerja sebagai korektor pada tahun 1920, kemudian dinaikkan pangkat sebagai ketua redaktur di Balai Pustaka[75]. Bolehlah dikatakan novel-novel yang membicarakan tentang masalah orang Melayu Minangkabau diterbitkan oleh Balai Pustaka sehingga pengkaji Sastra Indonesia misalnya A. Teeuw, Ajib Rosidi dan Zubir Osman menggolongkan golongan ini sebagai Angkatan Balai Pustaka.

c) Peranan Sumpah Pemuda 1928

Sumpah Pemuda telah dilahirkan dan diikrarkan oleh seluruh pemuda Indonesia dengan penuh kesedaran semangat kebangsaan. Bangsa Indonesia memerlukan satu bahasa kebangsaan sebagai bahasa persatuan untuk menyatukan seluruh penduduk Indonesia yang berbagai bahasa, agama, dan kebudayaan. Sumpah Pemuda dianggap mempunyai peranan yang sangat besar kepada rakyat Indonesia kerana bahasa Melayu dipilih sebagai bahasa persatuan bagi rakyat Indonesia dan bahasa Melayu digantikan dengan bahasa Indonesia. Gagasan mengenai bahasa persatuan itu lahir dari sebuah proses pemikiran yang matang. Dalam kongres Pemuda Indonesia I, pada tahun 1926 Muhamad Yamin salah seorang pemuda Minangkabau memperjuangkan bahasa Melayu agar menjadi bahasa yang dapat difahami suku-suku bangsa di Indonesia[76]. Mohamad Yamin telah diberi penghormatan untuk membuat konsep-konsepnya dan salah satu konsep tersebut berisi rumusan tentang bahasa yang tertulis: ‘Kami putra dan putri Indonesia menjunjung tinggi bahasa persatuan bahasa Melayu’. Setelah melewati perdebatan dan berbagai pertimbangan, dalam Kongres Pemuda II, 28 Oktober 1928, disepakati rumusan mengenai bahasa persatuan, sebagai berikut: ‘kami putra dan putri Indonesia, menjunjung tinggi bahasa persatuan bahasa Indonesia’. Keputusan ini didukung oleh tokoh-tokoh berbagai suku bangsa seperti Ki Hadjar Dewantara, Purbatjaraka, Abu Hanifah, Husein Djajadiningrat, Sanusi Pane Semenjak itu para pemimpin Indonesia dan seniman menggunakan bahasa Melayu/Indonesia untuk meniupkan semangat kebangsaan sama ada dengan menggunakan dalam ucapan atau tulisan. Terbukti kemudian, bahasa Indonesia secara rasmi menjadi bahasa negara sebagaimana tercantum dalam Pasal 36, Undang-Undang Dasar 1945[77].

d) Lahirnya Insititusi pendidikan di Sumatera Barat

Apabila Belanda menguasai seluruh daerah Minangkabau pada tahun 1840, pemerintaha Belanda mula mempersiapkan tenaga terdidik tingkat rendah dengan membuka sekolah dasar. Bahasa Melayu diajar dan digunakan sebagai bahasa pengantar. Pada tahun 1855 sekolah guru mula dibuka di Bukittinggi sebagai sekolah guru yang pertama di Sumatera. Sekolah ini dikenali dengan nama Sekolah Raja(Kweekschool). Tujuan utama sekolah ini untuk menghasilkan guru di peringkat sekolah menengah yang dapat membina dan mengembangkan sekolah. Selama 10 tahun perkembangan telah menghasilkan 49 tamatan, 37 orang di antaranya menjadi pegawai pemerintah(pakhuis) yang sebahagian besarnya ditempatkan di pos-pos pengumpulan kopi. Hanya 12 orang yang menjadi guru. Sekolah Raja mempunyai peranan yang sangat besar kepada penyebaran Bahasa dan Kesusasteraan Melayu kerana tamatan ini dapat mengembangkan bahasa Melayu di Minangkabau dan Nusantara secara lebih cekap. Tamatan yang memilih pekerjaan di bidang pemerintahan, telah membentuk kaum intelek baru bumiputera. Tamatan ini dapat mengembangkan penggunaan bahasa dalam lingkungan pekerjaan dan masyarakat. Tamatan ini ada juga melibatkan diri dalam bidang kewartawanan, editor penerbit dan meningkat menjadi sasterawan dan ada yang menjadi pemimpin lainnya. Pengarang-pengarang Minangkabau yang terkenal adalah tamatan dari sekolah ini misalnya Marah Rusli pada tahun 1904, Nur Sutan Iskandar(1910), sekolah ini misalnya Marah Rusli Mereka membentuk intelektual peribumi yang mengembangkan dan menuangkan fikiran melalui bahasa yang telah dikuasainya[78]. Institusi pendidikan lain terutamanya di Sumatera Barat yang telah menghasilkan sasterawan termasuklah Abdoel Moeis dari ELS(Europese Lagere SchooI) di Bukittinggi, Sariamin dari Sekolah Guru Putri di Padang Panjang, Ali Akhbar Navis dari Institut Nasional Syafei(INS), Dt. B. Nurdin Jacub dari AMS, Bukittinggi, Soerwardi Idris. Wildan Yatim bersekolah peringkat Sekolah Dasar dan Menengah di Tapanuli. Pengarang Chairul Harun dan Darma Moenir pernah mendapat pendidikan peringkat menengah di Sumatera Barat.

e) Lahirnya Gerakan Kaum Muda

Di Indonesia, gejala sosial ini bermula pada tahun 1903 di kalangan masyarakat

Melayu Minangkabau. Syeikh Ahmad Khatib menyebarkan buah fikirannya dari Makkah melalui muridnya di daerah Minangkabau seperti Syekh Muhammad Djamil Djambak, Haji Abdul Karim Amrullah dan Haji Abdullah Ahmad[79]. Salah tujuan gerakan Kaum Muda ialah untuk memurnikan kembali agama Islam dan menentang adat yang tidak bersesuaian dengan Islam. Ulamak-ulamak ini mendirikan sekolah-sekolah agama misalnya sekolah-sekolah Thawalib. Sekolah-sekolah ini bukan sahaja memberikan ilmu pendidikan yang bercorak agama tetapi juga mata pelajaran yang lain misalnya Bahasa Melayu, Matematik, Bahasa Inggeris dan lain-lain. Sekolah-sekolah ini akhirnya melahirkan sasterawan yang berbakat besar misalnya Hamka dari Sumatera Thawalib, Parabek di Padangpanjang. Di dalam novel yang dikarang oleh Hamka terdapat idea-idea dari Kaum Muda yang ingin memperbaiki cara berfikir orang Islam terutama yang berkaitan dengan ajaran Islam yang sebenar.. Hamka sendiri pun mengeluarkan buku iaitu Adat Minangkabau Menghadapi Revolusi yang didalamnya secara tegas dinyatakan bahawa adat itu harus dibuang dan ditukar dengan dengan yang baru digunakan di seluruh Indonesia[80]. Kaum Muda bukan sahaja dari golongan yang berpendidikan agama tetapi juga dari golongan yang yang mendapat pendidikan secara barat misalnya Marah Rusli, Abdoel Moeis, Nur Sutan Iskandar, Adinegoro, Abas Sutan Pamuntjak N.S, Aman Datuk Madjoindo dan M. Enri. Hampir kesemua pengarang-pengarang ini menokohkan kaum muda dari mereka yang mendapat pendidikan barat sebagai penentang adat. Ini bermakna golongan Kaum Muda yang diwakili oleh pengarang sama ada yang mendapat pendidikan agama atau barat menggunakan karya kretif khususnya dalam bidang novel sebagai salah satu cara untuk memajukan fikiran masyarakat Islam pada waktu itu terutama di Sumatera Barat

f) Peraduan Penulisan Karya Sastera

Selepas Indonesia merdeka, penglibatan pihak pemerintah dan swasta dalam

usaha untuk mempertingkatkan lagi penglibatan rakyatnya dalam bidang penulisan semakin berkembang. Namun demikian, anugerah sastera lebih dipelopori oleh organisasi bukan kerajaan termasuk juga syarikat media serta yayasan budaya dan sosial[81]. Antaranya termasuklah akhbar Kompas dan majalah sastera Kisah yang memilih karya terbaik yang tersiar untuk diberi anugerah sastera pada jangka masa tertentu. A. A Navis sendiri mengakui semenjak cerpennya ‘Robohnya Surau Kami’ dipilih menjadi cerpen terbaik dan memperolehi Hadiah Sastra Majalah Kisah pada tahun 1955[82]. Anugerah sastera di Indonesia walaupun sebahagian besarnya tidak berdiri secara konsisten, namun telah menjadi pemangkin kepada corak perkembangan dunia kesusasteraan Indonesia. Anugerah-anugerah ini juga turut menyumbang kepada lahirnya bakat baharu dunia sastera. Hampir semua novel-novel yang diterbitkan sebelum ini telah memenangi peraduan yang tertentu. Hasilnya, banyak penerbit berusaha untuk menerbitkan novel-novel yang telah memenangi sayembara yang tertentu. Hal ini disebabkan penerbit merasa yakin bahawa karya yang akan diterbitkan akan diminati oleh masyarakat memandangkan novel-novel ini telah mendapat publisiti yang meluas dalam media massa. Novel-novel termasuklah Saraswati, Si Gadis dalam Sunyi(1970) oleh A. A. Navis. Novel ini sebenarnya adalah hasil sayembara mengarang UNESCO/IKAPI pada tahun 1968. Demikian juga dengan novel Panggilan Tanah Kelahiran oleh Dt. B. Jacub adalah hadiah kedua Bacaan Dewasa Sayembara Besar Mengarang yang diselenggarakan oleh Balai Pustaka pada tahun 1966. Novel Pergolakan oleh Wildan Yatim adalah pemenang hadiah ketiga sayembara Mengarang Roman dengan kerjasama Panitia Tahun Buku Internasional 1972, DKI Jakarta. Novel ini juga mendapat hadiah daripada Yayasan Buku Utama Departemen Pendidikan dan Kebudayaan Indonesia. Novel Dan Perang pun Usai oleh Ismail Marahimin mendapat hadiah kedua sayembara mengarang roman yang diselenggarakan oleh Dewan Kesenian Jakarta pada tahun 1977.

j) Peranan Budaya dalam Masyarakat Melayu Minangkabau

Salah satu budaya tradisi yang dapat dianggap dapat memberikan satu eset

yang paling baik sehingga melahirkan ramai sastrawan ialah budaya merantau. Orang Minangkabau juga mempunyai semangat belajar yang tinggi dan mereka berani mengeluarkan pendapat. Sikap budaya ini bersumber dari pandangan hidup mereka yang egaliter dan kosmopolitan[83]. Pola egaliter dengan segala implikasinya memberikan hak dan kesempatan bagi setiap orang mengembangkan potensi dirinya tanpa merendahkan orang lain. Hal ini tidak dinafikan kerana pengarang-pengarang pada zaman awal abad ke-20 sehingga akhir abad ke-20 misalnya Marah Rusli, Abdoel Moeis, Nur Sutan Iskandar, Tulis Sutan Sati, Hamka, Adinegoro, Soewardi Idris, Idrus, dan Wildan Yatim menghasilkan karya mereka di perantauan terutama di Jakarta dan Medan. Orang Melayu Minangkabau mudah menyesuaikan bahasanya ke dalam bahasa Melayu tinggi yang sudah mendapat tempat sebagai lingua franca. Bahasa Melayu Minangkabau juga dipandang sebagai dialek dari bahasa Melayu dan bahasa Melayu ini sangat mudah dan orang Melayu Minangkabau mudah menyesuaikan bahasanya ke dalam bahasa Melayu tinggi.

Perkembangan ilmu pengetahuan sama ada Barat dan Islam membuatkan

orang Melayu Minangkabau telah membuka diri tentang beberapa kelemahan yang ada dalam struktur kekeluargaan matrilineal. Hak wanita yang berlebihan di samping pembelengguan gerak-gerinya, pemuda Minangkabau yang tidak ada hak di rumah ibunya, suami yang jadi orang asing di rumah isterinya, keluarga isteri lebih berkuasa terhadap isteri dan anak-anak. Beberapa kelemahan inilah yang memungkinkan berkembangnya idea, fikiran, gagasan para penulis novel sehingga mereka menghasilkan karya mereka untuk diperdebatkan dalam kehidupan masyarakat Melayu Minangkabau seterusnya[84].

Masyarakat Melayu Minangkabau dan seluruh pelajar dari Sumatera yang

tinggal diperantauan telah mengadakan organisasi. Mereka dapat berkumpul dengan lebih ramai pemuda asal Minang yang sedang menuntut di tanah Jawa. Pada tahun 1917 rasa kesatuan ini mendapat salurannya apabila sejumlah pemuda pelajar Sumatera membentuk wadah Jong Sumateranen Bond(Perkumpulan Pemuda Sumatera). Tujuan perkumpulan ini ialah untuk menumbuhkan rasa kesatuan dan setiakawan antara pemuda dari Sumatera, dan saling mendorong menuntut ilmu sehingga menjadi pemimpin, pendidik dan pengabdi masyarakat kampung dengan harapan dapat meningkatkan taraf hidup masyarakat. Pemuda-pemuda ini termasuklah Mohammad Yamin, Djamaloeddin(Adinegoro) dan Amir[85].

Sikap berbahasa dan sifat perantau Minangkabau menjadi penunjang dalam

perkembangan bahasa Melayu. Perantau yang memilih pekerjaan sebagai peniaga, guru, pegawai, selalu berada di tengah masyarakat. Mereka sangat mudah menyesuaikan diri, cepat bergaul dengan masyarakat sekitar dan mengembangkan komunikasi yang dapat difahami bersama dengan menggunakan bahasa Melayu.

c) Peranan Akhbar, Majalah dan Penerbit

Sekolah-sekolah Thawalib bukan sahaja melahirkan pelajar tetapi sekolah

ini juga melahirkan akhbar Islam seperti ‘Al-Munir’ di Padang Panjang. ‘Al-Bayan’ di Parabek, Al-Basyr di Sungayang, ‘Al-Imam’ di Padang Japang dan lain-lain. Melalui akhbar ini golongan kaum muda dapat menyampaikan tentang reformasi dan nasionalisme di kalangan masyarakat Indonesia.[86] Berdasarkan pengalaman yang ada dalam masyarakat Minangkabau dan juga pengalaman di negara Arab, Hamka pergi ke Medan dan di sana beliau bertindak sebagai editor dalam majalah ‘Mingguan Islam’. Beliau terpaksa menceburkan diri ke dalam lapangan kesusasteraan dan menulis novel bersiri dan cerpen. Menurut Teeuw, pada tahun 1935 – 1940 Hamka menghasilkan lima buah roman. Novel-novel yang dihasilkan termasuklah Di Bawah Lindungan Kaabah(1936) dan Tenggelamnya Kapal Van der Wijck(1938)[87].

Majalah-majalah lain yang berperanan besar dalam usaha melahirkan pengarang novel bukan sahaja pengarang dari Sumatera Barat tetapi juga pengarang Indonesia pada keseluruhannya. Majalah-majalah tersebut misalnya ‘Sri Pustaka’(1919-1941), ‘Panji Pustaka’(1919 – 1942), dan ‘Jong Sumatera’(1920- 1926). Sutan Takdir Alisjahbana menakui bahawa pada usianya 15 tahun, beliau mulai menulis untuk majalah Jong Sumatera dalam bahasa Belanda dan Indonesia yang ketika itu masih bernama bahasa Melayu[88]. Pada tahun 1932 majalah ‘Timbul’ iaitu sebuah majalah yang khusus tentang sastera yang sebelumnya diterbitkan dalam bahasa Belanda telah menerbitkan juga edisi Bahasa Indonesia yang dipimpin oleh Sanusi pane. Dalam tahun yang sama, Sutan Takdir Alisyahbana telah mengadakan ruangan ‘Menuju Kesusasteraan Baru’ dalam majalah ‘Panji Pustaka’.

Majalah pujangga baru diterbitkan pada 29 Julai 1933(1933 – 1942 dan 1949 – 1953) dengan harapan untuk mengeluarkan pendapat dan fikiran untuk memajukan bahasa dan kebudayaan. Tokoh-tokoh yang terlibat ialah Sutan Takdir Alisyahbana, Armijn Pane, Amir Hamzah dan Tetengkeng. Majalah ini diberi nama Pujangga Baru merupakan majalah pertama dalam bahasa Indonesia manakala penulis dalam majalah ini lebih dikenali dengan Angkatan Pujangga Baru. Majalah ini berusaha untuk mengumpulkan para seniman, budayawan dan cendikiawan seperti Sutan Takdir Alisyahbana, Amir Syarifudin, Amir Hamzah dan lain-lain.

Selepas Indonesia merdeka, akhbar, majalah dan penerbit yang lain tetap memainkan peranan yang penting dalam usaha untuk melahirkan pengarang termasuk dalam bidang penulisan novel. Pada tahun 1957, novel “Pak Kantor” karya A. A Navis dimuatkan dalam akhbar ‘Harian Nyata’, Bukit Tinggi. Pada tahun 1967 akhbar ‘Harian Makmur’ memuatkan novel “Kembali dari Alam Barzakh’ oleh A. A Navis. Pada tahun 1969, akhbar harian Haluan Padang memuatkan novel yang berjudul “Padang Kota Tercinta”. Seterusnya pada tahun 1971, novel A. A Navis juga dimuatkan dalam novel yang berjudul “Di Sepanjang Pantai Purus” dalam harian Semangat Padang. Pada tahun 1975 akhbar Kompas yang beribu pejabat di Jakarta memuatkan novel pengarang yang sama dalam surat kabar yang berjudul “Gerhana”. Pada tahun 1983 novel A. A. Navis di muatkan dalam akhbar harian ‘Sinar Harapan’(Jakarta) dengan judul “Di Lintasan Mendung”.[89] Karya-karya yang ditulis oleh Wildan Yatim juga dimuatkan dalam majalah misalnya majalah ‘Pikiran Rakyat’, ‘Horison’, ‘Budaya Jaya’. Karya-karya beliau juga dimuatkan dalam akhbar ‘Indonesia Raya’, ‘Pedoman Minggu’(Jakarta), ‘Pikiran Rakyat’(Bandung). Penerimaan daripada akhbar dan majalah dari penulis tentunya akan memotivasikan lagi para penulis untuk menghasilkan karya mereka dalam pelbagai genre termasuk novel[90].

3.3 Kesimpulan

Berdasarkan kepada perincian faktor-faktor perkembangan novel di Malaysia termasuk di Kelantan dan juga perkembangan di Indonesia termasuk di Sumatera Barat dapat dijelaskan bahawa perkembangan ini didapati ada yang mempunyai faktor yang hampir sama dan juga berbeza. Hal ini disebabkan oleh faktor-faktor terutamanya dalam bidang politik penjajahan dan situasi semasa yang wujud di negara tersebut. Faktor-faktor yang sama ialah lanjutan tradisi kesusasteraan tradisional yang sudah lama wujud di Nusantara, lahirnya institusi pendidikan yang bersifat rasmi hasil daripada penjajahan Inggeris dan Belanda, pengaruh daripada gerakan Kaum Muda, peraduan dan penganugerahan karya sastera dan peranan akhbar, majalah dan penerbit. Walaubagaimanapun lanjutan tradisi kesusasteraan tradisional dianggap faktor yang utama lahirnya jenis sastera novel dalam kesusasteraan Melayu sama ada di Malaysia dan juga di Indonesia. Novel-novel dari kedua buah negara terbentuk daripada hasil evolusi jenis sastera ‘hikayat’, ‘epik’, ‘kaba’ dan sastera lisan yang lain yang sudah menjadi warisan bagi masyarakat Melayu di Malaysia dan juga di Indonesia. Pengarang-pengarang Melayu Kelantan dan Melayu Minangkabau terutamanya yang mula-mula bergiat di peringkat zaman awal pertumbuhan novel( tahun 1920 – 1940) lebih mengenali bentuk-bentuk hikayat, epik dan kaba. Mereka kebanyakannya terpisah dari bentuk-bentuk novel di Barat atau di dunia lainnya. Mereka pada waktu itu tidak pernah mengunakan istilah ‘novel’. Namun, mereka berkemampuan menulis novel-novel yang diilhamkan oleh jenis sastera hikayat, kaba atau epik. Penciptaan pada zaman awal perkembangan ini lebih dikenali dengan istilah ‘hikayat’, ‘cetera’ atau ’cerita panjang’. Penamaan judul novel sebagai Siti Nurbaya oleh Marah Rusli yang dianggap novel yang pertama ditulis oleh orang Melayu Minangkabau membuktikan hal ini. Siti Nurbaya merupakan watak seorang perempuan Melayu Minangkabau mempunyai hubungan dengan nama judul-judul kaba Minangkabau yang sudah terkenal dalam masyarakat Melayu Minangkabau misalnya Kaba Cinduo Mato, Kaba Siti Jamilah, Puti Gondoriah, Puti Nilam Cayo dengan Dang Tuangku Gombang Alam, Puti Talayang, Sabai nan Aluih, Kaba Siti Syamsiah dan lain-lain. Kesemua judul kaba Minangkabau tersebut adalah watak perempuan dan kaba ini mempunyai kedudukan yang penting dalam kersusateraan tradisional orang Melayu Minangkabau.

Menurut Hashim Awang, lahirnya novel dalam masyarakat ini tumbuh sebagai hasil daripada dan kreativiti orang Melayu terhadap kepentingan ciptaan seni sastera sebagai alat membentuk jiwa, moral dan kemajuan bangsa serta masyarakatnya. Fungsi dan tujuan ciptaan menjadi pendorong dan penentu utamanya, bukan unsur atau suasana zaman. Menurutnya lagi, Sasterawan-sasterawan Melayu tidak pernah memikirkan bahawa mereka patut mengarang sastera kerana adanya alat cetak, atau kerana adanya pengaruh-pengaruh barat yang baru atau moden maka mereka patut menulis karya sastera untuk menerapkan kemodenan ini[91]. Faktor asas mereka mengarang kerana lebih terdorong oleh keinginan yang lahir dalam rasa kemanusiaan untuk membimbing bangsa atau masyarakat mereka, baik pada peringkat zaman awal pertumbuhan novel dan selepas kedua-dua buah negara ini mencapai kemerdekaan. Faktor-faktor desakan atau perubahan masa kurang menjadi penentu atau rangsangan kepada penglahiran sastera mereka.

4.0 Sepintas Lalu Tentang Perkembangan Novel Penulis Kelantan dan Sumatera

Barat

Perkembangan di sini meliputi soal penghasilan novel yang dihasilkan oleh penulis Kelantan dan Sumatera Barat, yakni penulisan dan penerbitannya. Novel berasal dari bahasa Itali ‘novella’ yang bererti ‘sebuah barang baru yang kecil’, dan kemudian diertikan sebagai ‘cerita pendek’ dalam bentuk prosa. Sebelum kemunculan novel, tradisi penulisan sebenarnya telah lama wujud terutama bila wilayah di Nusantara ini telah menerima agama Islam sebagai pegangan akidah mereka. Agama Islam telah membawa huruf Arab menerusi Al-Quran dan melalui huruf Arab ini terus berkembang sebagai huruf Jawi. Semenjak huruf Jawi mula diterima dalam masyarakat Melayu di Nusantara, maka bermulalah tradisi penulisan. Sebelum ini perkembangan kesusasteraan berlaku secara lisan atau lebih dikenali sebagai sastera lisan. Pengenalan alat cetak yang dibawa oleh Barat dalam tahun 1800 menyebabkan tradisi penulisan semakin luas diterima dalam masyarakat Melayu Nusantara. Ini bermakna tradisi penulisan semakin diterima dalam masyarakat.

Roman pula bererti cerita yang ditulis dalam bahasa Roman, iaitu bahasa rakyat Perancis di abad pertengahan. Dalam pengertian moden, roman bererti cerita prosa yang melukiskan pengalaman-pengalaman batin dari beberapa orang yang berhubungan satu dengan yang lain dalam suatu keadaan. Secara umumnya roman ialah cerita rekaan berdasarkan kepada kehidupan yang dialami oleh manusia dan kerana itu mempunyai kemungkinan-kemungkinan untuk berlaku atau terjadi. Ahli-ahli sejarah sastera Indonesia misalnya A.Teeuw dan Ajip Rosidi lebih cenderung menggunakan kata roman terutama kepada novel-novel yang diterbitkan sebelum perang. Aning Retnaningsih mendefinisikan bahawa novel yang lahir pada peringkat awal pertumbuhan novel di Indonesia dikatakan sebagai roman moden. Roman moden rancangannya sangat luas. Gambaran lahir dari pelaku-pelaku atau watak-watak dengan pengalaman dan keperibadian pengarang sendiri, disertai dengan pengalaman dan keadan hidup sehari-hari yang bersifat kebetulan dan luar biasa, sampai kepada keperibadian batin yang mempunyai watak yang khas serta dengan dengan keadaan rasa hati dan konflik kejiwaan yang timbul oleh susunan watak itu. Apa yang dipaparkan di dalam moden ialah kehidupan sehari-hari dari manusia yang mendekati kenyatan-kenyatan yang sebenarnya[92]. Mengambil latar belakang dari kejadian-kejadian sekelilingnya yang menarik perhatian pengarang dari satu masa yang tertentu. Sebaliknya cerita dari hikayat dimulai dengan penderitaan-penderitaan terlebih dahulu, kemudian diakhiri dengan pengembaraan pelaku-pelaku yang mengembirakan, sesuai dengan fungsinya iaitu menghibur orang-orang yang sedang menderita. Isi yang terdapat alam hikayat kebanyakannya adalah romantis, berisi bermacam-macam keajaiban, peperangan dan pengembaraan yang tidak berkesudahan dan hidangan yang mewah dan menceritakan tentang kekuatan yang luar biasa pada seseorang watak dan kecantikan puteri-puteri.. Pada tahun 20-an isi yang terdapat dalam roman moden masih terlihat unsur-unsur hikayat sebagaimana yang terdapat dalam kesusasteraan Melayu lama. Sewaktu istilah ‘roman’ digunakan untuk genre novel zaman awal di Indonesia, genre novel zaman awal hanya digunakan dengan istilah ‘buku cerita’ satu istilah yang dipadankan dari frasa Bahasa Inggeris ‘story book’ di Malaysia. Istilah ‘buku cerita’ digantikan dengan istilah’novel’ hanya setelah kata ‘novel’ diperkenalkan oleh pihak Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 1958[93]. Walaubagaimanapun, di dalam kajian ini roman dianggap sama dengan novel sama ada novel yang ditulis sebelum perang atau selepas perang[94].

4.1 Perkembangan Novel Penulis Kelantan

Perkembangan novel penulis Kelantan tidak dapat dipisahkan dengan perkembangan novel secara keseluruhannya di Malaysia. Kajian terbaru oleh S. Othman Kelantan mendapati novel terawal di Malaysia ialah Hikayat Panglima Nikosa Mendapat Kesusahan Waktu Perang Sampai Mendapat Kesenangan(Hikayat Panglima Nikosa) oleh Ahmad Syawal Abdul Hamid yang dicetak di Bukit Persingahan, Kucing pada 30 Jun 1876 atau 8 Jamadil Akhir tahun 1293 Hijrah. Novel ini ditulis dalam tulisan Jawi sebanyak 29 halaman. Keseluruhannya menepati ciri-ciri novel moden. Walaupun novel ini pendek tetapi unsur dalaman seperti tema, latar, perwatakan, teknik penceritaan dan sudut pandangan berbeza sama sekali daripada hikayat sebagaimana yang terdapat dalam kesusasteraan Melayu Klasik.[95]

Selepas 48 tahun Hikayat Panglima Nikosa diterbitkan muncul novel saduran, Kecurian Lima Million Ringgit oleh Muhammad Muhammad Said di Kelantan pada 1922. Kemudian novel Syair Cerita Bijaksana oleh Abdul Rahman Daud al-Makki dan Hassan Omar pada 1923. Kecurian Lima Million Ringgit mengisahkan ketajaman pegawai polis memahami segala tipu helah penjahat termasuk pencuri dan penjahat. Cerita ini bermula dengan kepintaran pencuri di Eropah bernama John Sinclair, Jack Hocker sebagai penipu yang pintar di Amerika, Nicholes Carter sebagai watak detektif yang terkenal di Amerika. Penduduk di Kota London dan Amerika bimbang kerana penipuan dan kecurian berleluasa. Tindakan bijak detektif Nicholas Carter dan Mr. Baxter menjadikan kawasan itu aman[96].

Perkembangan novel di Kelantan agak lambat jika dibandingkan dengan kegiatan di Malaysia Timur terutama di Sarawak. Walaubagaimana pun tradisi penulisan terutama dalam bentuk cerpen sudahpun bermula pada 4. 2. 1920 dengan terbitnya cerpen berjudul ‘Kecelakaan Pemalas’ oleh Nor b. Ibrahim (al-Madrasi) dalam majalah Pengasuh. Majalah ini sehingga November 1923 telah menyiarkan sebanyak 25 buah cerpen untuk tatapan orang ramai dan penulis yang paling produktif ialah Ismail bin Sulaiman(Putera Bumi Kelantan)[97]. Pada tahun 1921 Ishak Haji Abdullah memulakan kebiasaan menulis cerpen panjang-panjang dengan cerpennya ‘Cetera Raja Harun Al-Rasyid’ yang diterbitkan dalam majalah Pengasuh. Perkembangan cerpen ini tidak lain daripada penerusan tradisi kesusasteraan lisan yang termashur dengan cerita-cerita panjangnya[98]. Perkembangan ini sangat menarik kerana kegiatan penulisan dalam bidang kesusasteraan sebenarnya tidak ketinggalan jika dibandingkan dengan di Pantai Barat(Sarawak) kerana kegiatan ini dapat dikesan bermula pada tahun 1920. Kajian ini juga menjelaskan bahawa Sarawak telah memulakan terlebih dahulu tradisi penulisan di Malaysia. Namun demikian, kalau dilihat dalam skop yang lebih kecil terutama di Tanah Melayu negeri Kelantan bolehlah dianggap sebagai pelopor kepada pertumbuhan novel yang bercorak saduran dengan penemuan novel yang berjudul Kecurian Lima Million Ringgit(1922). Penemuan novel saduran ini juga telah menindakkan kajian sarjana sebelum ini yang telah meletakkan bahawa novel Hikayat Faridah Hanum merupakan novel yang paling awal ditulis dalam bahasa Melayu pada tahun 1925.

Usaha perintisan dalam bidang penulisan terutama dalam bidang novel diteruskan oleh Haji Ahmad bin Ismail di Kota Bharu, Kelantan. Menurut Sabura Mohd Daud Marican Haji Ahmad telah menerbitkan lapan buah novel saduran antara tahun 1929 – 1937. Walaubagaimanapun beliau hanya menyebut dua buah novel saduran sahaja iaitu Pundi-pundi Biru(1936) dan Kecenderungan Perempuan(1936 – 1937). Novel-novel semuanya diterbitkan dalam majalah ‘al Hikmah’[99]. Tahun 1937 dianggap sebagai tahun yang sangat penting kerana pada tahun inilah novel yang pertama dihasilkan oleh penulis dari Kelantan iaitu Abdul Kadir Adabi dengan novelnya Acuman Mahkota. Seterusnya pada tahun 1938 pengarang yang sama menghasilkan novel yang berjudul Sebelas Rajab. Pada mulanya kedua-dua novel ini dimuat dalam majalah al-Hikmah (1937 – 39). Bagaimanapun, memandangkan kedua novel ini dianggap novel yang sangat penting pada zaman awal pertumbuhan novel di Kelantan dan juga di Tanah Melayu maka novel ini diterbitkan semula oleh Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 1980. Seterusnya pada tahun 1939 Abdul Kadir Adabi menghasilkan novelnya yang ketiga yang berjudul Melati Kota Baharu. Novel ini juga dimuat dalam majalah ‘al-Hikmah’ di Kota Bharu. Berdasarkan pernyataan ini dapatlah dibuat kesimpulan bahawa hanya terdapat tiga novel yang ditulis oleh pengarang Kelantan di sekitar tahun 1930 – 1940. Bagaimanapun, novel Melati Kota Bharu dianggap novel yang terpenting pada masa tersebut dan Jabatan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka yang dipengerusikan oleh Haji Hamdan Yahya, Pengarah Jabatan Sastera, telah memilih 42 buah novel yang diterbitkan sepanjang abad ke-20 dan novel Melati Kota Bahru terpilih sebagai salah satu novel yang terbaik pada abad ke-20 iaitu pada dekad 1930-an. Ciri-ciri novel ini dianggap sebagai karya terbaik abad ke-20 ialah karya yang mencerminkan tradisi bangsa, yang mencetus dan mempengaruhi nilai hidup yang positif, karya yang mampu bertahan diuji zaman, karya yang sesuai menjadi acuan dan rujukan kepada generasi kemudian, karya yang digunakan secara meluas dan berterusan oleh masyarakat, pengkaji dan pelajar sastera, karya yang telah mencapai mutu sastera yang tinggi pada zamannya[100].

Pertumbuhan novel di Malaysia diteruskan oleh penulis yang menetap di Pulau Pinang terutama Syed Syeikh Al Hadi dengan novel saduran yang pertama berjudul Hikayat Faridah Hanum pada tahun 1925 dan Ahmad bin Muhammad Rasyid Talu dengan novelnya berjudul Iakah Salmah? dan Kawan Benar pada tahun 1927. Yahya Ismail menganggap walaupun Hikayat Faridah Hanum merupakan novel yang pertama dikenal oleh masyarakat Melayu, namun dengan latar belakang negeri Mesir dan wataknya terdiri daripada golongan bangsawan, maka karya ini tidak dapat disebut ‘asli’[101]. Novel Kawan Benar dianggap novel yang penting kerana novel ini mempunyai latarbelakang, susana dan watak di Tanah Melayu. Novel inilah yang dianggap oleh Yahya Ismail sebagai pelopor dalam penulisan novel yang berlatarbelakang Tanah Melayu.[102] Pada tahun 1925 juga telah diterbitkan sebuah novel lain berjudul Kelebihan Bersahabat tetapi sayangnya nama pengarang tidak dicatatkan. Pada tahun 1927 Ahmad Kotot menghasilkan novel dengan judul Hikayat Percintaan Kasih Kemudaan pada tahun 1927. Zulkarnain Yaakub dengan novelnya yang berjudul Hikayat Perjumpaan Asyik dan Hikayat Khalik dan Malik pada tahun 1927. Pada tahun 1927 Muhammad Yusuf Ahmad menghasilkan novel dengan judul Mencari Isteri dan novel ini dimuatkan dalam Majalah Guru secara bersiri. Walaubagaimanapun, tradisi penulisan novel pada zaman awal perkembangan terutama dalam tahun 1920 dan 1930 dimulakan oleh penulis dari berbagai negeri termasuk dari Sarawak. Penulisan novel di Sarawak diteruskankan oleh Ahmad Rakawi Yusuf yang berjudul Melati Sarawak pada tahun 1932[103]. Berdasarkan kajian sehingga kini, menunjukkan pada tahun 1920 – 1930 pengarang Kelantan yang menulis dalam bidang novel yang berlatarbelakangkan latar tempatan belum ditemui.

Perkembangan novel penulis Kelantan selepas Perang Dunia II terutama sekitar tahun 1945 – 1960 kurang memberangsangkan kerana di sekitar tahun tersebut tidak ada novel yang diterbitkan. Bagaimanapun pada tahun 1962 S. Othaman Kelantan muncul sebagai pengarang novel dengan terbit novelnya yang pertama yang berjudul Pelangi pada tahun 1962. Novel ini mendapat hadiah penghargaan dalam Peraduan Mengarang Novel anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 1962[104]. Seterusnya pada tahun 1966, 1967, 1969 S. Othman Kelantan menghasilkan novel yang berjudul Pengertian, Pertentangan, dan Angin Timur Laut. Kesemua novel-novel ini diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan pustaka, Kula Lumpur.

Tahun 1970 – 1979 merupakan dekad yang penting dalam perkembangan novel-novel penulis Kelantan. Pada tahun 1977 muncul seorang pengarang wanita iaitu Fatimah Busu dengan novelnya yang berjudul Ombak Bukan Biru. Dengan munculnya novel ini, maka dapatlah dianggap Fatimah Busu merupakan pengarang novel pertama dari golongan perempuan di Kelantan. Sebelum itu pada tahun 1973 S. Othman Kelantan menghasilkan novel yang berjudul Juara dan Perjudian. Kedua-dua novel ini juga diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.

Dekad tahun 1980 – 1989 menyaksikan terdapat tiga orang anak Kelantan yang bergiat cergas dalam penulisan novel iaitu S. Othman Kelantan, Fatimah Busu dan Norhisham Mustaffa. Pada tahun 1980 S. Othaman Kelantan menghasilkan novel yang berjudul Perwira manakala Fatimah Busu menghasilkan novel berjudul Kepulangan. Selepas tahun 1980 bidang penulisan novel terus didominasi oleh Norhisham Mustaffa dengan novelnya yang terbit pada tahun 1982 dan 1984 iaitu Selubung Senja, dan Gerhana di Langit Pagi. Pada tahun 1985 novel beliau ialah Pengorbanan Suci dan Biarkan Ombak Badai. Pada tahun 1988 novel beliau termasuklah Biar Keruh Air Di Hulu, Kasih Orang Terbuang, Menggapai Pelangi dan Secalit Warna antara Rentak diterbitkan pada tahun 1989. Pada tahun 1989 S. Othman Kelantan menghasilkan novel dengan judul Ruang Perjalanan.

Dekad 1990 – 1999 S. Othman Kelantan dan Norhisham Mustaffa terus giat menghasilkan novel. S. Othman Kelantan menghasilkan novelnya pada tahun 1990, 1991, dan 1997. Judul-judul yang dihasilkan oleh beliau ialah Wajah Seorang Wanita, Ustaz, dan Nagogogho Astana. Norhisham Mustaffa menghasilkan tiga buah novel pada tahun 1990 iaiatu Duri-duri di Tangkai Hati, Permata di Lembah Hati dan Persingahan. Pada tahun 1991 Norhisham menghasilkan satu buah novel dengan judul Renda Sutera. Seterusnya pada tahun 1992, beliau menghasilkan empat buah novel dengan judul Merentas Gerhana, Angin Permatang, Sepanjang Ngilu Membelit dan Menguak Kabus. Pada tahun 1997 dan 1999 dua buah novel yang dihasilkan iaitu Leraian Novella dan Sayangku Aini Sofea. Pada tahun 1998 Awang Abdullah menghasilkan novel dengan judul Anak Kampung.

Abad ke 21 menyaksikan seorang anak muda dari Kelantan yang berpotensi sebagai pengarang yang berbakat besar iaitu Mohd. Nazmi Yaakub. Beliau dilahirkan 10 Febuari 1974 di kota Baharu, Kelantan. Novel yang dihasilkannya ialah Lambaian Huda yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 2001. Pada tahun 2003 Mohd. Nazmi Yaakub terus menghasilkan novel dengan judul Merentas Sungai Sejarah. Karya ini telah memenangi Hadiah Ketiga Peraduan Menulis Novel Alaf Barau 2001 anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka. S. Othman Kelantan menghasilkan novel Orang Kota Bharu pada tahun 2003. Novel ini merupakan novel pertama dari S. Othman Kelantan di bawah riayah Dewan Bahasa dan Pustaka iaitu dalam bentuk sumbangan Geran Bantuan Penulis. Pada tahun 2003 juga Fatimah Busu terus giat menghasilkan novel dengan judul The Missing Piece dan Salam Maria.

4.2 Perkembangan Novel Penulis Sumatera Barat

Perkembangan novel penulis Sumatera Barat tidak dapat dipisahkan dengan perkembangan novel secara keseluruhannya di Indonesia. Pada peringkat awal pertumbuhan novel di Indonesia sebenarnya sudah dimulai bukan sahaja dari penulis Sumatera Barat tetapi juga meliputi penulis dari pulau Sumatera yang lainnya terutama dari penulis Mandailing, Aceh, Sumatera Utara, Palembang, Pulau Jawa, Sulawesi dan lain-lain. Sebelum novel Azab dan Sengsara(1920) yang merupakan novel pertama Balai Pustaka, didapati telah terbit beberapa buah novel lain. Novel-novel ini berlatar-belakangkan daerah-daerah di sekitar Pulau Jawa. Karya-karya tersebut termasuklah karya Raden Mas Djokomono Tirto Aghi Soerjo yang berjudul Cerita Nyai Ratna(1909), Membeli Bini Orang(1909) dan Busono(1912). Seterusnya karya Mas Marco Kartodikromo ialah Mata Gelap dan Student Hijau. Gadis Bali Ni Rawit Penjual Orang oleh Panji Tisna oleh Panji Tisna dan Hikayat Siti Mariah ditulis oleh H. Moekti. Fatimah Busu menganggap Hikayat Siti Mariah(1910-1911) merupakan novel terawal Indonesia berasaskan kepada penampilan watak-watak yang terdiri dari bangsa penjajah dan watak peribumi. Penampilan watak ini memperlihatkan realiti kehidupan di Indonesia di bawah penjajahan Belanda. Latar yang terdapat alam novel ini juga adalah latar yang sebenarnya terutama pemamparan kilang gula dan ladang tebu. Novel ini juga disampaikan di dalam bahasa Melayu loghat Jawa yang disesuaikan dengan latar kehidupan dan suasana di Pulau Jawa[105].

Walaubagaimanapun, ahli sejarah sastera Indonesia sudah sependapat bahawa sebelum Perang Dunia Kedua, penulis dari Sumatera Barat merupakan penulis yang paling dominan menghasilkan novel-novel terutama dari penerbit Balai Pustaka. Umar Junus menganggap hasil-hasil kesusasteraan khususnya novel yang diterbitkan oleh Balai Pustaka pada peringkat awalnya dianggap telah memulai satu sastera moden yang berbeza dengan sastera tradisional. Perkembangan ini dianggap sebagai masa baru dalam perkembangan kesusasteraa Melayu di Indonesia[106]. Angkatan Balai Pustaka juga dikenali sebagai angkatan 20 kerana novel pertama yang diterbitkan telah dapat memberi corak kesusasteraan Indonesia moden. Novel tersebut berjudul Azab dan Sengsara oleh Merari Siregar yang ditulis sekitar tahun 1920. A. Teeuw pula menganggap tahun-tahun 20-an dikenali sebagai zaman Balai Pustaka sebagai “masa kecilnya kesusasteraan Indonesia yang moden”. Annas Haji Ahmad pula menganggap novel-novel yang dihasilkan sebelum perang sebagai zaman pembaharuan di Indonesia dan tanah Melayu. Zaman ini dikenali sebagai zaman kesedaran, zaman, zaman yang membawa jiwa dan corak baharu ke dalam sastera bentuk prosa dan puisi.

Berdasarkan kepada corak perkembangan penulisan novel di Indonesia sebelum perang, maka pada peringkat awal perkembangannya dikenali sebagai period kelahiran. Di dalam period kelahiran ini dapat dibahagikan kepada tiga bahagian iaiatu 1900 – 1933, period 1933 – 1942 dan period 1942 – 1945. Ketiga-tiga period ini mempunyai ciri-ciri yang khas di dalam penulisan novel. Berdasarkan kepada pembahagian ini maka period sebelum Perang Dunia Kedua ialah period 1900 – 1933 dan period 1933 – 1942. Berdasarkan kepada huraian di atas menunjukkan bahawa terdapat berbagai pengertian dan pandangan tentang novel-novel yang dihasilkan pada peringkat pertumbuhannya. Berdasarkan kepada kajian sarjana yang lampau, belum lagi ditemui secara khusus tentang perkembangan novel-novel dari pengarang Sumatera Barat sama ada sebelum Perang Dunia Kedua atau selepas Perang Dunia Kedua. Kajian yang ada sebelum ini di dapati pengarang Sumatera Barat digabungkan bersama-sama dengan pengarang dari daerah lain di seluruh pelusuk Indonesia. Dengan hal yang demikian, peranan secara khusus tentang penglibatan pengarang dari Sumatera Barat khususnya dalam perkembangan novel didapati agak kabur. Untuk melihat perkembangan novel dari aspek kewilayahan ini, beberapa pengarang yang terkenal pada tahun 30an terutama Sutan Takdir Alisyahbana dan Armijn Pane tidak akan dibincangkan. Sutan Takdir Alisyahbana dengan novelnya yang berjudul Layar Terkembang dan Armijn Pane dengan novel Belenggu. Hal ini disebabkan Sutan Takdir dilahirkan di Natal pada tahun 1908 dan Armijn Pane dilahirkan di Muarasipongi. Menurut Umar Junus, Sutan Takdir Alisyahbana dilahirkan dan dibesarkan di Palembang[107]. Kedua-dua daerah ini tidak termasuk dalam wilayah Sumatera Barat dan mereka bukan orang Melayu Minangkabau. Dalam kajian ini pengkaji akan cuba membuat suatu perkembangan novel yang ditulis oleh penulis Sumatera Barat bermula pada tahun 1920 sehingga tahun 2000. Novel-novel yang dihasilkan oleh penulis Sumatera Barat dapat dikategorikan kepada dua bahagian iaitu novel yang membicarakan tentang masyarakat Melayu Minangkabau dan novel yang tidak membicarakan masyarakat Minangkabau atau membicarakan masyarakat Indonesia secara keseluruhannya. Secara pastinya pengarang-pengarang dari Sumatera Barat terus membicarakan masyarakat mereka bukan sahaja pada era sebelum perang tetapi persoalan ini terus berlanjutan sehingga tahun 2000.

Pada tahun 1920- 1929 tercatat pengarang-pengarang novel dari Sumatera Barat. Nama-nama tersebut termasuklah Marah Rusli, Abdoel Moeis, Nur Sutan Iskandar, Adinegoro dan Tulis Sutan Sati. Novel yang pertama dari pengarang Sumatera Barat ialah Sitti Nurbaya yang dihasilkan oleh Marah Rusli pada tahun 1922. Pada tahun yang sama Nur Sutan Iskandar menghasilkan novelnya yang pertama berjudul Apa Dajaku karena Aku Perempuan dengan menggunakan nama samaran iaitu Nursinah Iskandar. Novel ini diterbitkan oleh penerbit swasta. Pada tahun 1924 Nur Sutan Iskandar menghasilkan dua buah novel yang berjudul Apa Dayaku karena Aku Perempuan, dan Cinta yang membawa Maut bersama Abdul Ager. Pada tahun ini juga Swan Pen atau nama sebenarnya Prada Harahap menghasilkan novel yang berjudul Melati van Agam. Pada tahun 1926 Kedjora menerbitkan sebuah novel yang bertajuk Karam dalam Gelombang. Novel Pertemoen hasil karya Abas Dt. Pamoentjak diterbitkan pada tahun 1927 dan Adinegoro menghasilkan novel yang berjudul Darah Muda. Seterusnya pada tahun 1928 Nur Sutan Iskandar menghasilkan novel dan diberi judul Salah Pilih. Pada tahun yang sama Adinegoro menghasilkan novel yang berjudu Asmara Jaya. Pada tahun 1929 terbitnya novel hasil karya Abdoel Moeis dengan judul Salah Asuhan. Tak Disangka dan Sengasara Membawa Nikmat karya Tulis Sutan Sati juga diterbitkan pada tahun 1929. Novel yang penting dalam dekad ini dan sering diperdebatkan sehingga hari ini ialah Sitti Nurbaya, Salah Pilih, Salah Asuhan dan Sengasara Membawa Nikmat.

Pada tahun 1930 – 1939 tercatat pengarang-pengarang novel dari Sumatera Barat. Nama-nama tersebut termasuklah Habib Sutan Maharadja, Selasih dan Hamka. Pada tahun 1931 Abdoel Moeis bersama Mamed Sastrahadiprawira menghasilkan novel yang berjudul Pengeran Kornel. Habib Sutan Mahahradja menghasilkan novel pada tahun 1932 dengan judul Nasib. Pada tahun yang sama novel-novel yang diterbitkan berjudul Memutuskan Pertalian, Tidak Membalas Guna, dan Tak Disangka oleh Tulis Sutan Sati dan novel berjudul Pertemuan Jodoh oleh Abdul Muis. Pada tahun 1932 Nur Sutan Iskandar menghasilkan novel yang berjudul Karena Mentua. Tulis Sutan Sati menghasilkan novel yang berjudul Memutuskan Pertalian dan Tidak Membalas Guna pada tahun 1932. Pada tahun ini juga Aman Dt. Madjoindo bersama Hardjosumarto menghasilkan novel yang berjudul Rusmala Dewi dan judul tambahan novel ini ialah Pertemuan Djawa dan Andalas. Aman Dt. Madjoindo yang dilahirkan di Solok pada tahun 1896 menghasilkan novel yang berjudul Menebus Dosa juga pada tahun yang sama. Pada tahun 1933 dianggap tahun yang penting dalam perkembangan novel-novel pengarang Sumatera Barat dan Indonesia pada keseluruhannya kerana Selasih muncul sebagai pengarang perempuan yang pertama dengan novelnya yang berjudul Kalau Tak Untung. Pada tahun yang sama Nur Sutan Iskandar menghasilkan novel yang berjudul Tuba Dibalas dengan Susu dan beliau bersama M. Dahlan menghasilkan novel yang berjudul Dewi Rimba. Pada tahun 1934 Nur Sutan Iskandar menghasilkan novel Hulubalang Raja dan bersama S. Hardjosomarto menghasilkan novel yang berjudul Rusmala Dewi dan Sebabnya Rafi’ah Tersesat. Novel Hulu Balang Raja merupakan sebuah roman sejarah yang dikerjakan berdasarkan sebuah disertasi H. Kroeskamp De Westkust en Minangkabau (1665 – 1668) (Pantai Barat dan Minangkabau, 1665 – 1668 terbit 1931).[108] Aman Dt. Madjoindo menghasilkan novel yang berjudul Si Cebol Rindukan Bulan dan Sampaikan Salamku Kepadanya. Pada tahun 1935 Nur Sutan Iskandar menghasilkan karya yang berjudul Katak Hendak Djadi Lembu.. Pada tahun 1935 Aman Dt. Madjoindo menghasilkan novel yang berjudul Menebus Dosa dan Sampaikan Salamku Padanya. Pada tahun ini juga Nur Sutan Iskandar menghasilkan novel yang berjudul Neraka Dunia. Selasih menghasilkan novel keduanya yang berjudul Pengaruh Keadaan juga pada tahun 1935. Pada tahun 1937 Nur Sutan Iskandar menghasilkan yang berjudul Naraka Dunia. Hamka dianggap pengarang yang penting di luar Balai Pustaka. Sungguhpun pengarang ini di luar dari Balai Pustaka tetapi persoalan yang diungkapkan melalui novel-novelnya masih lagi berlatarkan tentang kehidupan masyarakat Minangkabau. Pada tahun 1938 beliau telah menghasilkan novelnya yang pertama dengan judul Di Bawah Lindungan Kaabah, Tenggelamnya Kapal van der Wijck dan Karena Fitnah. dan Dijemput Mamaknya. Pada tahun 1939, Ardi Soma menghasilkan novel yang berjudul Tjintjin Setempel. Pada tahun yang sama novel yang penting dikarang oleh Hamka iaitu Merantau ke Deli, Tuan Direktur, dan Cinta dari Deli. Walaubagaimanapun novel yang dianggap penting dalam dekad ini ialah novel yang berjudul Kalau Tak Untung dan Di Bawah Lindungan Kaabah. Dalam dekad ini ada sebahagian novel-novel yang diterbitkan bukan lagi membicarakan masyarakat Melayu Minangkabau tetapi juga sudah menunjukkan kepelbagaian dalam masyarakat Inonesia walaupun penulisnya berasal dari Sumatera Barat. Novel-novel tersebut termasuklah Pengeran Kornel, Tuba di Balas dengan Susu, Dewi Rimba dan Rusmala Dewi.

Pada tahun 1940 – 1949 pengarang yang terkenal dalam dekad ini ialah M. Enri, Nur Sutan Iskandar, dan Hamka. Pada tahun 1940 M. Enri menghasilkan novel yang bertajuk Karena Anak Kandung. Pengarang yang lain ialah Saadah Alim dengan novelnya yang berjudul Pembalasannya. Nur Sutan Iskandar dengan novelnya yang berjudul Cinta dan Kewajipan karya bersama dengan L. Wirata dihasilkan pada tahun 1941. Keadilan Ilahi karya Hamka dihasilkan pada tahun 1941. Cinta Tanah Air yang dihasilkan pada tahun 1945 dan pada tahun 1946 beliau juga menghasilkan novel yang berjudul Moetiara, Janggir Bali dan Cobaan. Pada tahun yang sama Bagindo Saleh menghasilkan novel yang berjudul Adat Muda Menanggung Rindu. Dalam dekad ini pengarang dari Sumatera Barat didapati semakin kurang menghasilkan karya mereka. Hal ini disebabkan berlakunya Perang Dunia Kedua di Asia Tenggara sehingga menganggu kepada proses penerbitan novel. Walaubagaimanapun, novel yang dianggap penting dalam dekad ini ialah Cinta Tanah Air. Novel-novel yang tidak memfokuskan masyarakat Melayu Minangkabau ialah Cinta dan Kewajipan, dan Janggir Bali.

Pada tahun 1950 – 1959 pengarang dari Sumatera Barat ialah Idrus dan Marah Rusli, Abdul Moeis dan A. A. Navis. Novel yang dihasilkan oleh Idrus berjudul Aki yang diterbitkan pada tahun 1950. Pada tahun yang sama Abdul Moeis dan Hamka menghasilkan novel yang berjudul Surapati dan Menunggu Beduk Berbunyi. Pada tahun 1951 Hamka dan Abdul Moeis menghasilkan novel yang berjudul Kenang-kenangan Hidup dan Hendak Berbakti. Pada tahun 1952 Nur Sutan Iskandar menghasilkan novel dengan judul ujian Masa dan. Pada tahun 1953 dan 1956 Marah Rusli menghasilkan novel yang berjudul La Hami dan Anak dan Kemenakan. Abdoel Moeis pula menghasilkan novel yang berjudul Robert Anak Surapati pada tahun 1953. Pada tahun 1957 seorang pengarang baru mula dikenali iaitu A. A. Navis dengan novelnya yang berjudul Pak Kantor yang diterbitkan dalam akhbar ‘Harian Nyata’, Bukittinggi. Dalam dekad ini novel Aki dan Anak dan Kemenakan dianggap novel yang mempunyai kedudukan yang tinggi. Dalam dekad ini novel yang tidak membicarakan masyarakat Minangkabau ialah Surapati dan Robert Anak Surapati.

Selepas kemerdekaan Indonesia, Balai Pustaka dikembalikan ke tangan pemerintah Republik Indonesia. Sehingga tahun 1953 Balai Pustaka dapat melaksanakan fungsinya dengan baik namun demikian selepas itu badan ini kurang menerbitkan buku sastera. Hal ini mungkin disebabkan statusnya yang tidak jelas dan peranannya sering berubah-ubah. Kesanya penerbitan hasil sastera pun mengalami kemerostan. Penerbit-penerbit yang lain seperti Pembangunan, Pustaka Rakyat dan lain-lain tidak apat menggantikan fungsi dan peranan Balai Pustaka[109]. Hal ini mungkin menjadi penyebab kurangnya penglibatan pengarang-pengarang Sumatera Barat selepas novel Anak dan Kemenakan(1953) karya Abdoel Moeis.

Pada tahun 1960 - 1969 pengarang baru mula muncul mengantikan pengarang-pengarang dari zaman 20an dan 30an. Pengarang-pengarang tersebut termasuklah Soewardi Idris, A. A Navis, dan Dt. B. Jacub. Pada tahun 1964 Soewardi Idris menghasilkan novel dengan judul Di Puncak Bukit Talang dan A. A Navis dengan novel yang berjudul Kemarau. Novel ini asalnya diterbitkan secara bersiri dalam akhbar harian res Publika dan dicetak buat pertama kalinya pada tahun 1967 oleh NV Nusantara, Bukittinggi. Pada tahun 1965 Idrus menghasilkan novel dengan judul Hati Nurani Manusia. Pada tahun 1967 Dt. B. Jacub menghasilkan novel dengan judul Panggilan Tanah Kelahiran. Pada tahun itu juga novel Kembali dari Alam Barzakh hasil karya A. A Navis diterbitkan sebagai cerita bersambung dalam akhbar harian Aman Makmur, Padang, Sumatera Barat. Pada tahun 1969 A. A Navis juga menerbitkan novel sebagai cerita bersambung dalam akhbar Haluan, Padang, Sumatera Barat. Pada dekad ini nama A. A. Navis mula dikenali sebagai pengarang dari Sumatera Barat yang telah mewarnai dunia kesusasteraan bukan sahaja di Sumatera Barat tetapi juga di seluruh Indonesia. Novel Kembali dari Alam Barzakh tidak membicarakan masyarakat Melayu Minangkabau tetapi masyarakat Indonesia pada keseluruhannya.

Pada tahun 1970 – 1979 selain nama yang sudah sedia ada, nama-nama baru penulis dari Sumatera Barat termasuklah Wildan Yatim, Chairul Harun dan Ismail Marahimin. Pada tahun 1970 A. A. Navis menghasilkan novel Saraswati: Si Gadis dalam Sunyi dan seterusnya pada tahun 1971 beliau menghasilkan cerita bersambung dalam akhbar Harian Semangat pada tahun 1971 dengan judul Di Sepanjang Pantai Purus. Pada tahun 1975 A. A. Navis juga menghasilkan cerita bersambung dalam akhbar Kompas pada tahun 1975 dengan judul Gerhana. Idrus pada tahun 1973 masih mengekalkan nama hikayat dalam novelnya pada tahun 1973 dengan judul Hikayat Puteri Penelope dan novel ini tidak membicarakan masyarakat Minangkabau. Pada tahun 1974 Wildan Yatim menghasilkan novel dengan judul Pergolakan. Pada tahun 1979 terdapat dua orang pengarang dari Sumatera Barat yang mula mendapat nama dengan novelnya yang bertajuk Warisan dan Dan Perang pun Usai iaitu Chairul Harun dan Ismail Marahimin.

Pada tahun 1980 - 2000 terdapat beberapa novel dari pengarang Sumatera Barat misalnya novel yang berjudul Bako dan Dendang yang dihasilkan pada tahun 1983 dan 1988. Pada tahun 1994 A. A Navis terus menghasilkan novel secara giat dengan judul Di Lintasan Mendung, Gerhana, Dokter dan Juita.

4.2.1 Kesimpulan

Berdasarkan kepada perkembangan novel di Malaysia dan juga di Indonesia

dapatlah dibuat satu rumusan bahawa novel yang terawal berdasarkan kajian terbaru oleh S. Othman Kelantan ialah Hikayat Panglima Nikosa yang ditulis oleh Ahmad Syawal Abdul Hamid pada tahun 1876 di Sarawak. Di Indonesia kajian terbaru dari Fatimah Busu membuktikan bahawa novel yang terawal ditulis ialah pada tahun 1910/11 oleh S. Moekhti iaitu Hikayat Siti Mariah dari pengarang Pulau Jawa.. Ini menunjukkan bahawa Malaysia yang terlebih dahulu mempelopori bidang penulisan novel berbanding Indonesia. Novel saduran yang terawal di tulis oleh orang Melayu Kelantan pada tahun 1922. Walaubagaimanapun novel yang menggunakan watak, latar dan peristiwa tempatan ialah pada tahun 1937 dengan terbitnya novel Acuman Mahkota. Novel yang pertama ditulis oleh pengarang Sumatera Barat ialah Sitti Nurbaya pada tahun 1922. Walaupun novel Malaysia lebih mendahului berbanding dengan novel di Indonesia, pengarang-pengarang dari Indonesia terutama dari Sumatera Barat telah dapat menghasilkan novel dengan lebih banyak dan lebih berkualiti terutama dengan penglibatan daripada pihak penerbit Balai Pustaka. Penglibatan penulis dari pengarang Sumatera Barat dapat dilihat lebih progresif terutama zaman sebelum Perang Dunia Kedua baik dari segi kuantiti novel, pengarang dan mutu karya. Walaubagaimanapun, selepas Indonesia merdeka bilangan pengarang dari Sumatera Barat didapati semakin berkurangan dan peranan ini diteruskan oleh warga Indonesia yang lain. Sebaliknya penulis Kelantan, bilangan mereka semakin bertambah dan karya yang dihasilkan juga semakin meningkat.



[1] Roselan Abd. Malek dan Azmi Yusoff, 1998, Kelantan Darul Naim; Siri Kenali Negerimu, Prisma; Petaling Jaya, Hlm. 1

[2] Websters World Encyclopedia, Edisi 2000, Readers Digest, London.

[3][3] Funan, kerajaan Melayu tua yang ditubuhkan pada abad pertama Masihi. Funan merupakan sebuah kuasa besar di Asia Tenggara pada masa itu. Pusat Kerajaan Funan terletak di kawasan delta Sungai Sungai Mekong. Pada masa kemuncak kekuasaannya wilayah Funan meliputi Vietnam Selatan, bahagian tengah Mekong, sebahagian besar lembah sungai Menam dan Semenanjung Melayu. Kerajaan Funan mula runtuh pada pertengahan abad ke-6 M. Orang Melayu Funan beberapa kali berusaha untuk menumpaskan kekuasan orang Khmer tetapi tidak berjaya. Dengan demikian, lenyaplah sebuah Negara Melayu Funan 1000 tahun lebih awal daripada Melayu Campa. Lihat Ensiklopedia Sejarah dan Kebudayaan Melayu, 1995, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur. Hlm. 749.

[4] Muaratakus menjadi pusat agama Budha di Sumatera. Ramai tokoh agama Budha dari Mahat di India dan sampai sekarang kampung tersebut dikenali sebagai Kampung Mahat. Lihat A. A Navis, 1984, Alam Terkembang Jadi Guru; Adat dan Kebudayaan Minangkabau, Grafiti; Jakarta. Hlm. 6

[5] Roselan Abd. Malek dan Azmi Yusoff, 1998, Kelantan Darul Naim; Siri Kenali Negerimu, Prisma; Petaling Jaya, Hlm. 3

[6] Ibid, Hlm. 5.

[7] Ibid, Hlm. 8.

[8] Ibid,. Hlm. 7 – 9.

[9] Lihat Ensiklopedia Sejarah dan Kebudayaan Melayu, 1995, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur. Hlm. 1278

[10] Ibid, Hlm. 1278

[11] Pulau Sabar terletak di tengah-tengah Sungai Kelantan, berhampiran tebing sebelah timur tetapi lokasi sebenarnya tidak diketahui.

[12] Kawasan tersebut dikelilingi oleh deretan pokok buluh peleting dan buluh duri sebagai pagar.

[13] Lihat Ensiklopedia Sejarah dan Kebudayaan Melayu, 1995, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur. Hlm. 1272

[14] Proyek Penelitian dan Pencatatan Kebudayaan Daerah, 1977, Sejarah Daerah Sumatera Barat, Pemerintah Daerah Sumatera Barat; Padang. Hlm. 1.

[15] Luhak itu sendiri strukturnya amorfik, dan tidak pernah merupakan unit politik dalam pengertian tradisional. Ia hanya mempunyai erti dalam makna keturunan bahawa masing-masing secara mitologi berasal dari moyang yang sama. Lihat Mochtar Naim, Merantau: Pola Migrasi Suku Minangkabau, Gajah Mada: Yogyakarta.

[16] Ensiklopedia Sejarah dan Kebudayaan Melayu, 1995, Dewan Bahasa dan Pustaka; Kuala Lumpur. Hlm. 1363.

[17] Tsuyoshi Kato(terj. Azizah Kasim), 1989, Nasab Ibu dan Merantau: Tradisi Minangkabau yang Berterusan di Indonesia, Dewan Bahasa dan Pustaka: kuala Lumpur: Hlm.20.

[18] Syamsir Alam, 1995, Budaya Alam Minangkabau; Minangkabau Ranah Nan Den Cinto, Usaha Ikhlas; Bukit Tinggi. Hlm. 13 – 17.

[19] Mochtar Naim, 1984, Merantau; Pola Migrasi Suku Bangsa Minangkabau, Yogyakarta; Gajah Mada University Press. Hlm. 16.

[20] Lihat A. A Navis, 1984, Alam Terkembang Jadi Guru; Adat dan Kebudayaan Minangkabau, Grafiti; Jakarta. Hlm. 1.

[21] Lihat M. Nasroen, 1957, Dasar Falsafah Adat Minangkabau, Bulan Bintang, Jakarta. Hlm. 19.

[22] Edwar Djamaris, 1990, Menggali Khazanah Sastra Melayu Klasik, Balai Pustaka: Jakarta. Hlm. 106.

[23] M. Rasjid Manggis Dt. Radjo Panghoeloe, 1982, Minangkabau; Sejarah Ringkas dan Adatnya, Mutiara, Jakarta. Hlm. 95.

[24]. Lihat juga Proyek Penelitian dan Pencatatan Kebudayaan Daerah, 1977, Sejarah Daerah Sumatera Barat, Pemerintah Daerah Sumatera Barat; Padang. Hlm. 6. Nagari adalah suatu persekutuan undang-undang pemerintahan dan merupakan pokok pangkal tata susunan pemerintahan alam Minangkabau seluruhnya. Organisasi masyarakat Minangkabau terdiri dari rumah, paruik, suku, nagari dan akhirnya Alam Minangkabau yang merupakan struktur pemerintahan dari nagar-nagari dan terdiri dari Luhak Nan Tiga iaitu Tanah Datar, Agam dan 50 Kota.

[25] Sekarang arca ini disimpan di Muzium Nasional Jakarta. Keterangan lebih lanjut berkaitan prasasti ini lihat Dt. B. Nurdin Yakub, 1987, Sejarah Minangkabau Tanah Pusaka, Pustaka Indonesia: Bukittinggi. Hlm. 27 -33.

[27] Lihat M. Nasroen, 1957, Dasar Falsafah Adat Minangkabau, Bulan Bintang, Jakarta. Hlm. 18.

[28] Raja Mohd. Affandi, 1982, Tokoh-tokoh Melayu yang Agung dalam Sejarah, Dewan Bahasa dan Pustaka; Kuala Lumpur. Hlm. 29. Kerajaan Singosari merupakan kerajaan yang terkuat di Kepuluan Melayu ketika itu. Pada 1254 Karatanagara dinobatkan sebagai Raja muda oleh ayahnya Wisynuwarddhana dan mereka memerintah bersama. Selepas ayahnya, meninggal pada tahun 1268, barulah Kartanegara menjadi pemerintah. Riwayat Kertanagara terdapat dalam buku Nagarakertagama karangan Prapanca..

[29] Ayah Adityawarman bernama Adwayawarman berdasarkan kepada catatan pada Prasasti Kubo Rajo di Lima Kaum Batusangkar. Lihat Ensilopedi Minangkabau A. A Navis, ‘Ensiklopedi Minang: Aditiawarman dan Silat”, Singgalang, 27 Ogos 1995.

[30] Muhammad Yusoff Hashim, 1989, Kesultanan Melayu Melaka, Dewan Bahasa dan Pustaka: Kuala Lumpur. Hlm. 346.

[31] Lihat juga Proyek Penelitian dan Pencatatan Kebudayaan Daerah, 1977, Sejarah Daerah Sumatera Barat, Pemerintah Daerah Sumatera Barat; Padang. Hlm.24.

[32] A. A Navis, ‘Ensiklopedi Minang: Minangkabau”, Singgalang, 9 Julai 1995.

[33] Lihat M. Nasroen, 1957, Dasar Falsafah Adat Minangkabau, Bulan Bintang, Jakarta. Hlm. 19. Lihat juga Ensiklopedia Sejarah dan Kebudayaan Melayu, 1995, Dewan Bahasa dan Pustaka; Kuala Lumpur. Hlm. 1329..

[34] H. Sidi Ibrahim Boechari,1981, Pengaruh Timbal Balik antara Pendidikan Islam dan Pergerakan Nasional di Minangkabau, Gunung Tiga; Jakarta. Hlm. 61

[35] Intizham Jamil. 1983, Pertentangan antara Kaum Adat dan Kaum Paderi di Minangkabau, Fakultas Sastra dan Kebudayaan, latihan Ilmiah, Universitas Gajah Mada; Yogyakarta. Hlm. 75 – 112. Lihat juga Taufik Abdullah, Schools and Politics: The Kaum Muda Movement in West Sumatra(1927 – 1933), Cornell Modern Indonesia Project, Southeast Asia Program, Cornell University, New York. Hlm. 5.

[36] Ensiklopedia Sejarah dan Kebudayaan Melayu, 1995, Dewan Bahasa dan Pustaka; Kuala Lumpur. Hlm. 1113.

[37] Lihat juga Proyek Penelitian dan Pencatatan Kebudayaan Daerah, 1977, Sejarah Daerah Sumatera Barat, Pemerintah Daerah Sumatera Barat; Padang. Hlm. 70.

[38] Lihat Elizabeth E. Gravers, 1984, The Minangkabau Response: To Dutch Colonial Rule in the Nineteenth Century, Cornell Modern Indonesia Project, Southeast Asia Program, Cornell University, New York. Hlm. 48.

[39] Rusli Amran, 1985, Sumatra Barat: Plakat Panjang, Sinar Harapan, Jakarta. Hlm. 122 -139.

[40] Sejarah Daerah Sumatera Barat, 1977, Proyek Penelitian dan Pencatatan Kebudayaan Daerah; Pemerintah Daerah Sumatera Barat; Padang. Hlm. 82.

[41] Lihat juga Taufik Abdullah, 1971 Schools and Politics: The Kaum Muda Movement in West Sumatra(1927 – 1933), Cornell Modern Indonesia Project, Southeast Asia Program, Cornell University, New York. Hlm. 12.

[43] S. Othman Kelantan, Oktober 1988, “Kesusasteraan Melayu Moden: Pemikiran dan Permasalahan” dalam Dewan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka: kuala Lumpur, hlm. 56.

[44] Hashim Awang dan Norhayati Ab. Rahman, 1996, “Unsur-unsur Moden dan Tradisional dalam Perkembangan Novel Novel Melayu Sebelum Perang Dunia II” dalam Tradisi dan Komodernan, Safirin Subhilar Sudirman(pny), 1996, dalam Universitas Sumatera Utara: Medan, hlm. 253.

[45] Muhammad Haji Salleh(pny), 1999,’Richard Winstedt; Sarjana atau/dan Penulis Kolonial’ dalam Menyemberang Sejarah: Kumpulan Esei Pilihan(Edisi Khas Sasterawan Negara), Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, hlm. 150.

[46] Ibid, hlm. 12.

[47] S. Othman Kelantan, Oktober 1988, “Kesusasteraan Melayu Moden: Pemikiran dan Permasalahan” dalam Dewan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka: kuala Lumpur, hlm. 56.

[48] Anas Haji Ahmad, hlm. 104.

[49] Salbiah Ani, 1997, ‘Novel Malaysia Tembusi Jepun’ dalam Berita Harian, 25 Desember.

[50] Hashim Awang, 1984, Kesusasteraan Melayu dalam Kritikan dan Sejarah, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, hlm. 225.

[51] Monique Zaini-Lajoubert, 1994, ‘Perkembangan Cerpen Melayu: Dari Awal Sampai Sekarang’ dalam Sempana: Himpunan Esei Penelitian oleh Sarjana Kesusasteraan Melayu Antarabangsa, Ahmad Kamal Abdullah dkk(pny), Dewan Bahasa dan Pustraka, hlm. 296.

[52] Chung Young-Rhim, 1993, “Novel-novel Awal di Semenanjung Melayu(1926 – 1941): Suatu Pernyataan Identiti” dalam Ainon Abu Bakar(pny) , dalam Telah Sastera Melayu: himpunan Kertas Kerja Minggu Sastera Malaysia di London. Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, hlm.17.

[53] Lihat LC Fang, 2001, ‘Siri Wacana Tokok: Tuk Kenali Berwawasan Unik, Futiristik’ dalam Berita Minggu, 17 Jun, hlm. 9.

[54] Ibid, Lc Fang

[55] Ibid, LC Fang

[56] Sabura Mohd Daud Marican, 1985, Kesusasteraan Melayu Moden: Satu Kajian Peringkat STPM, Tiada Penerbit, Kota Bharu, hlm.25.

[57] Hashim Awang dan Norhayati Ab. Rahman, 1996, “Unsur-unsur Moden dan Tradisional dalam Perkembangan Novel Novel Melayu Sebelum Perang Dunia II” dalam Tradisi dan Komodernan, Safirin Subhilar Sudirman9pny), 1996, dalam Universitas Sumatera Utara: Medan, hlm. 255

[58] Sabura Mohd Daud Marican, 1985, Kesusasteraan Melayu Moden: Satu Kajian Peringkat STPM, Tiada Penerbit, Kota Bharu, hlm.143.

[59] Ibid, hlm. 28 – 29.

[60] Jihati Abadi, 1979, Sari Sejarah Kesusasteraan Malaysia-Indonesia(Tradisi Moden), Adabi; Kuala Lumpur, hlm. 69.

[61] Jihati Abadi dan Azran Rahman, hlm. 87.

[62] Rosnah Baharudin, Mei 1989,”Melati Kota Bharu: Cinta Platonik Wanita” dalam Dewan Sastera, dewan Bahasa dan Pustaka: Kuala Lumpur, hlm. 68.

[63] A. Bakar Hamid(pny), hlm. 1976, Diskusi Sastera: jilid II Kesusasteraan Moden, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, hlm. 71.

[64] Annas Haji Ahmad, 1975, Sastera Melayu: Lama dan Baru, Sinaran Bross: Pulau Pinang, hlm. 88. Lihat juga C. Hooykaas, 1965, Perintis Sastera(edisi baru), Fajar Bakti: Kuala Lumpur, hlm. 46.

[65] Darma Mohammad, Mei 2004, “Dunia Penulisannya Terbuka Seluas Langit” dalam Dewan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka: kuala Lumpur, hlm. 8.

[66] S.M. Zakir, Ogos 2004, Anugerah Sastera Pemangkin Perkembangan Sastera” dalam Dewan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka; Kuala Lumpur, hlm. 26 – 29.

[67] Annas Haji Ahmad, 1975, Sastera Melayu: Lama dan Baru, Sinaran Bross: Pulau Pinang, hlm. 104..

[68] Sabura Mohd Daud Marican, 1985, Kesusasteraan Melayu Moden: Satu Kajian Peringkat STPM, Tiada Penerbit, Kota Bharu, hlm.142.

[69] S. Othman Kelantan, 1987, Kecenderungan Baru dalam Novel Melayu: Satu Kajian Struktur, Dewan Bahasa dan Pustaka: Kuala Lumpur, hlm. 9 – 11.

[70] Zainab Kasim, mac 2004, “Anugerah Sastera Negara: Negara Mewah Sasterawan Bertuah” dalam dewan sastera, dewan Bahasa dan Pustaka: Kuala Lumpur, hlm. 14.

[71] Ibid, S.M Zakir, hlm 28..

[72] Teeuw, hlm 79. Lihat juga Boris Parnickel, 1995, Perkembangan Nusantara Serumpun: Abad ke-7 – ke-19, Dewan Bahasa dan Pustaka: Kuala Lumpur, hlm. 105.

[73] Ajip Rosidi, hlm. 54.

[74] Adriyetti Amir, 1987, “Sengsara Membawa Nikmat dan Kaba Sutan Lembak Tuah: Pembicaraan Resepsi sastra dan Hubungan Intertekstual”. Tesis S2 Fakultas Pasca Sarjana, Universitas Gajah Mada. Tidak diterbitkan. Tentang Kaba secara mendalam lihat Umar Junus, 1984, Kaba dan Sistem Sosial Minangkabau: Suatu Problema Sosiologi Sastra, Balai Pustaka: Jakarta. Lihat juga ‘Kaba’ dalam Dewan Budaya, Dewan Bahasa dan Pustaka: Kuala Lumpur, Mei 1991.

[75] Zuber Usman,1983, Kesusasteraan baru Indonesia, Pustaka Melayu Baru; Kuala Lumpur, hlm, 57. Lihat juga Ajip Rosidi, 1991, Ikhtisar Sejarah Sastra Indonesia, Binacipta: Jakarta, hlm. 54.

[76]Muhammad Yamin lahir pada 23 Ogos 1903 di Talawi, dekat Sawahlunto, Sumatera Barat. Anak Usman Bagind0 Khatib kepala laras dan pakhuis-meester di Talawi, ibunya bernama Saadah dari Benghulu.Selepas tamat sekolah Melayu, beliau memasuki HIS dan kemudian melanjutkan ke sekolah guru di Bukittinggi. Pernah mengikuti Sekolah Pertanian dan Penternakan di Bogor(1923), tetapi tidak selesai. Pada tahun 1927 bersekolah di AMS Yogyakarta. Beliau melanjutkan pelajaran di Sekolah Hakim Tinggi di Jakarta hingga selesai pada tahun 1932 dengan gelar Meester in de Rechten(Sarjana Hukum). Meninggal dunia pada 17 Oktober 1962 di Jakarta dan dikebumikan di Talawi. Maman S. Mahayana, ) Ogos 1997 “Dia Penyair, Pencetus Bahasa Persatuan dan Menteri P&K, Dia Pahlawan Nasional” dalam Kakilangit, Sisipan Majalah Sastra’ dalam Horison, Hlm. 11.

[77] Maman S. Mahayana, Ogos 1997, “Dia Penyair, Pencetus Bahasa Persatuan dan Menteri P&K, Dia Pahlawan Nasional” dalam Kakilangit, Sisipan Majalah Sastra Horison, Hlm. 12.

[78] Syamsuddin Udin, 1987, ‘Peranan Masyarakat Minangkabau dalam Sejarah Perkembangan Bahasa Melayu(Riau) Menuju Bahasa Nasional Indonesia’ dalam Tradisi Johor-Riau: Kertas Kerja Hari Sastera 1983, Dewan Bahasa dan Pustaka: Kuala Lumpur, Hlm.15 – 40.

[79] Ensiklopedia Sejarah dan Kebudayaan Melayu, 1995, Dewan Bahasa dan Pustaka: Jakarta, Hlm. 1112

[80][80] Lukman Ali, 1994, Unsur Adat Minangkabau dalam Sastra Indonesia, Balai Pustaka: Jakarta, Hlm. 135.

[81] S. M Zakir, Ogos 2004Anugerah Sastera Pemangkin Perkembangan Sastera” dalam Dewan Sastera, hlm. 29.

[82] .

[83] Ali Akhbar Navis, 1987, “Pengaruh Minangkabau dalam Sastera Indonesia” dalam Diskusi Budaya, Pekan Budaya V Sumatera Barat, Padang, hlm. 7. Tidak diterbitkan.

[84] Syamsuddin Udin, 1987, ‘Peranan Masyarakat Minangkabau dalam Sejarah Perkembangan Bahasa Melayu(Riau) Menuju Bahasa Nasional Indonesia’ dalam Tradisi Johor-Riau: Kertas Kerja Hari Sastera 1983, Dewan Bahasa dan Pustaka: Kuala Lumpur. Hlm.15 – 40..

[85] Ibid, hlm. 31.

[86] Sejarah Daerah Sumatera Barat, 1977, Proyek Penelitian dan Pencatatan Kebudayaan Daerah, Pemerintah Daerah Sumatera Barat: Padang. Hlm, 90.

[87] A. Teeuw, Sastera Baru Indonesia,Nusa Indah: Jakarta, hlm. 104

[88] Sutan Takdir Alisjahbana, 1972, “Pengalaman Sekitar Menulis Karangan Sastera dalam Proses Kreatif, Pamusuk Eneste(pny) 1983, Gramedia; Jakarta, Hlm. 109.

[89] A.A Navis 1994, “Otobiografi: Karya dan Kegiatan A.A Navis dalam Otobiografi A. A. Navis, Abrar Yusra(pny), 1994, Gramedia: Jakarta, Hlm. 243.

[91] Hashim Awang, Mei 1996, “Kesusasteraan Melayu: Tradisional atau Moden?’ dalam Dewan Sastera, dewan Bahasa dan Pustaka; Kuala Lumpur, hlm. 63 – 66.

[92] Aning Retnaningsih, 1983, Roman dalam Masa Pertumbuhan Kesusasteraan Indonesia Moden, Erlangga: Jakarta. Hlm. 28.

[93] Ibid, Fatimah Busu, 1944..

[94] Burhan Nurgiyantoro, 1995, Teori Pengkajian Fiksi, Gajah Mada University Press; Yogyakarta, hlm. 9 – 15.

[95] Syed Othman Syed Omar, 2001, ‘Novel Malaysia: Catatan Sejarah Awal(Bahagian Satu)’ dalam Utusan Melayu, Kuala Lumpur, 1 Desember.

[96] Ibid, Syed Othman Syed Omar.

[97] Sabura Mohd. Daud Marican, 1985, Kesusasteraan Melayu Moden: Satu Kajian Peringkat STPM, Tanpa penerbit, Kota Bharu, hlm. 77.

[98] Monique Zaini-Lajoubert, 1994, ‘Perkembangan Cerpen Melayu: Dari Awal Sampai Sekarang’ dalam Sempana: Himpunan Esei Penelitian oleh Sarjana Kesusasteraan Melayu Antarabangsa, Ahmad Kamal Abdullah dkk(pny), Dewan Bahasa dan Pustraka, hlm. 297.

[99] Ibid, hlm. 76.

[100] Lihat kata pengantar Hamzah Hamdani, Ketua Bahagian Teori dan Kritiakan Sastera, Jabatan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka dalam Siri Novel Malaysia Pilihan Abad 20 dalam Jong Chian Lai, Pemberontakan, Dewan Bahasa dan Pustaka; Kuala Lumpur, hlm. xiii –xvii.

[101] Lihat Yahaya Ismail, 1970. “Novel-novel Melayu Sa-belum Perang Dunia Kedua” dalam Dewan Bahasa, Oktober, hlm. 437 – 454.

[102] Ibid, hlm. 5

[103] S. Othman Kelantan, 1987, Kecenderungan Baru dalam Novel Melayu: Satu Kajian Struktur, Dewan Bahasa dan Pustaka; kuala Lumpur, hlm. 46 – 51.

[104] Zainab Kasim, Mac 2004, “Anugerah Sastera Negara: Negara Mewah Sasterawan Bertuah” dalam dewan sastera, dewan Bahasa dan Pustaka: Kuala Lumpur, hlm. 16

[105] Lihat Fatimah Busu, 1994, Persamaan dan Perbezaan dalam Perkembangan Novel-novel Melayu dan Indonesia, Tesis Ph.D Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang, hlm. 83. lihat juga Pramoedya Ananta Toer, 1985, Sang Pamula, Hasta Mitra: Jakarta, , hlm. 301-353.

[106] Umar Junus, 1974

[107] Ajip Rosidi, hlm.35 – 37. Lihat juga Umar Junus 1984, “Unsur Luar dalam Novel Indonesia” dalam Sastera Melayu Moden: Fakta dan Interpretasi, Dewan Bahasa dan Pustaka; Kuala Lumpur, hlm. 259

[108] Ajip Rosidi, 1991, hlm. 51.

[109] Ajip Rosidi, Sejarah Sastra Indonesia, Bina Aksara, Jakarta. hlm. 105

No comments: